Skip to main content

Perak Terus Perkasa Pengurusan Hutan Lestari, Teliti Semula SOP Aktiviti Pendakian : 4 Jun 2026.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyempurnakan gimik perasmian majlis berkenaan

IPOH, 4 Jun 2026 – Kerajaan Negeri Perak terus komited memperkukuh pengurusan hutan secara lestari sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri yang seimbang, merangkumi aspek ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata, hutan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai sumber hasil negeri, sebaliknya merupakan aset strategik yang menyumbang kepada kestabilan ekosistem, keselamatan sumber air, pemuliharaan biodiversiti serta pembangunan ekonomi mampan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Menurut beliau, tema sambutan tahun ini iaitu “Hutan dan Ekonomi” memberi penekanan kepada peranan penting hutan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi selain menyokong kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.

"Perak yang mempunyai keluasan tanah kira-kira 2.114 juta hektar masih mengekalkan kawasan berhutan seluas kira-kira 1.015 juta hektar atau 48 peratus daripada keluasan negeri. Daripada jumlah tersebut, hampir 988,724 hektar merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

"Dalam usaha memperkukuh tadbir urus sektor perhutanan, Kerajaan Negeri telah menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 melalui Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 yang diluluskan pada April lalu.

"Pada masa sama, Perak berjaya merekodkan penanaman sebanyak 11.4 juta pokok menerusi Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan sehingga tahun 2025," jelasnya.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut memaklumkan bahawa negeri Perak terus mencatat pelbagai pencapaian membanggakan dalam bidang biodiversiti termasuk penemuan spesies baharu halia, Alpinia lenggongensis, di Banjaran Bintang, Lenggong yang memperkukuh kedudukan kawasan tersebut sebagai lokasi yang memiliki nilai warisan dan biodiversiti tinggi.

Dalam perkembangan yang sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) aktiviti pendakian gunung bagi memperkukuh aspek keselamatan pengunjung serta memastikan pengurusan kawasan rekreasi dan pendakian dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Bukan soal tempoh pendakian semata-mata. Jika seseorang itu tidak mempunyai tahap kecergasan yang sesuai, risiko tetap boleh berlaku walaupun pendakian hanya mengambil masa satu atau dua hari.

"Justeru, selain tempoh pendakian, aspek kecergasan, kemahiran serta keupayaan seseorang pendaki juga perlu diberi perhatian bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang berada di kawasan gunung dan hutan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis tersebut.

Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan komuniti Orang Asli dalam pengurusan kawasan hutan dan aktiviti pendakian kerana mereka mempunyai pengetahuan mendalam mengenai keadaan muka bumi, laluan hutan serta persekitaran setempat.

Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Pegawai Undang-Undang Negeri Perak; YB Encik Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau; YBhg. Dato’ Haji Zahari bin Ibrahim, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia serta YBhg. Dato’ Mohd Basri bin Abdul Manaf, Pengarah Perhutanan Negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 19 Jun 2026, 15:48:25.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.