Skip to main content

Ketua Audit Negara Perkukuh Pengurusan Kewangan Negeri Perak : 8 Jun 2026.

Selain menjadi platform pemantauan, AGD berfungsi sebagai mekanisme penting dalam mempercepat tindakan susulan audit

IPOH, 8 Jun 2026 – YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara telah mempengerusikan Mesyuarat Penutup Pengauditan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2025 dan Sesi Libat Urus Berkaitan Isu-Isu dalam Sistem Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General’s Dashboard – AGD) kali ketiga bagi negeri Perak tahun 2026 di Bilik Gerakan, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Sesi tersebut bertujuan membincangkan status tindakan susulan terhadap isu-isu audit yang masih dalam pemerhatian.

Melalui sesi libat urus tersebut, sebanyak 11 isu audit melibatkan Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Pengurusan Pasir Perak Sdn. Bhd. berjaya diselesaikan hasil tindakan susulan yang dilaksanakan oleh agensi terlibat.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dan jabatan berkaitan dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan tahap akauntabiliti serta memastikan setiap teguran audit diberikan perhatian sewajarnya.

Selain menjadi platform pemantauan, AGD berfungsi sebagai mekanisme penting dalam mempercepat tindakan susulan audit melalui pemantauan berterusan dan penyelarasan yang lebih sistematik antara Jabatan Audit Negara dengan agensi pelaksana.

Mengakhiri mesyuarat, YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi seterusnya telah menyempurnakan sesi menandatangani dan penyerahan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perak bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2025 kepada YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Hadir sama, YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); YBrs. Encik Azman bin Mahmood, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan); Puan Noor Rita binti Kassim, Pengarah Bahagian Susulan Audit; Encik Abd Aziz bin Che Daud, Pengarah Audit Negeri Perak; Encik Muhammad Nazri bin Abdullah, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Perak serta jabatan dan agensi yang terlibat.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 19 Jun 2026, 15:48:25.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.