Skip to main content

Kemajuan Ipoh Dinilai Melalui Kesejahteraan Rakyat, Bukan Pembangunan Fizikal – YAB Menteri Besar Perak : 18 Jun 2026.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyempurnakan gimik perasmian di majlis berkenaan

IPOH, 18 Jun 2026 - Kemajuan sebenar Ipoh sebagai ibu negeri tidak boleh hanya dinilai melalui pembinaan bangunan baharu, jalan raya yang sibuk atau kerancakan pembangunan kawasan komersial semata-mata.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak menegaskan status kemajuan sebenar bandar raya berkenaan sebaliknya perlu diukur apabila ia mampu memberikan perkhidmatan yang cekap, menjaga kebersihan, memastikan warganya berasa selamat serta mewujudkan peluang ekonomi buat rakyat.

Menurut beliau, sebagai ibu negeri, Ipoh memikul tanggungjawab yang amat besar kerana profil dan imejnya menjadi penanda aras serta cerminan pertama kepada keseluruhan landskap negeri Perak.

"Wajah Ipoh sering menjadi cerminan pertama kepada negeri Perak – sama ada kepada pelabur, pelancong, komuniti perniagaan, pelajar, penjawat awam mahupun rakyat dari daerah lain yang datang berurusan di bandar raya ini.

"Sebab itu pada saya, kemajuan Ipoh tidak boleh hanya dinilai melalui aspek fizikal semata-mata. Kemajuan sebenar adalah apabila rakyat dapat merasai impak positifnya dalam kehidupan seharian mereka. Rakyat menilai kejayaan melalui apa yang rakyat rasa, bukan apa yang rakyat baca," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Ipoh Ke-38 di Ipoh Convention Centre (ICC), di sini, hari ini.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, dalam usaha memacu Ipoh ke arah sebuah kota yang moden dan dinamik di bawah kerangka Pelan Perak Sejahtera 2030, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan perlu memastikan kecekapan penyampaian perkhidmatan asas kekal menjadi agenda utama.

Ujar beliau, pengurusan bandar yang efektif, sistem aduan yang responsif serta penyediaan ruang awam yang bersih dan selamat merupakan kompas utama dalam menterjemahkan kemajuan fizikal kepada kesejahteraan hidup rakyat yang inklusif.

Sementara itu, Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh dalam ucapan aluannya berkata, bagi menterjemahkan hasrat tersebut, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendekatan “Back to Basic” sebagai teras perkhidmatan utama.

"Ini termasuk pengurusan sampah yang cekap, landskap yang terurus, jalan dan longkang yang diselenggara, rumput yang dipotong secara berkala, lampu jalan yang berfungsi, serta kemudahan awam yang bersih, selamat dan mesra pengguna. Inilah perkhidmatan asas yang dilihat setiap hari dan dirasai secara langsung oleh warga kota," jelasnya.

Mengulas lanjut, Tuan Zamakhshari bin Hanipah menyifatkan sambutan pada tahun ini yang bertemakan “MENJULANG ASPIRASI, BANDAR RAYA BESTARI” amat signifikan kerana ia turut memperingati perjalanan panjang 133 tahun Ipoh sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan sejak penubuhan Kinta Sanitary Board North pada tahun 1893.

Katanya, bandar raya yang kini dihuni oleh lebih 880,000 penduduk bukan sekadar susunan infrastruktur fizikal, tetapi merupakan sebuah ekosistem kehidupan tempat warga kota membina keluarga dan mencipta kenangan.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar pembangunan Ipoh terus dipacu menerusi konsep musyawarah dan perkongsian tanggungjawab bersama antara pentadbiran bandar, komuniti, serta pihak swasta demi memelihara identiti Ipoh sebagai bandar warisan dan pelancongan yang berdaya saing.

Tuan Zamakhshari bin Hanipah turut menitipkan pesan kepada seluruh warga kerja MBI agar menjadikan momentum ulang tahun ke-38 ini untuk memperbaharui tekad penjawat awam yang berintegriti, profesional dan berdisiplin tinggi.

Hadir sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak serta YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 17 Julai 2026, 08:53:14.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.