Perak Terima Empat Pengiktirafan RKB Peringkat Nasional : 29 Jun 2026.
Ketibaan YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar disambut meriah oleh para tetamu
PUTRAJAYA, 29 Jun 2026 – Kerajaan Negeri Perak menerima empat pengiktirafan pada Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang berlangsung di Dewan Putra B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Pengiktirafan tersebut melibatkan Anugerah Khas RKB, Sijil Penghargaan atas Pencapaian Bilangan Projek RKB Siap Tertinggi serta pengiktirafan bagi kategori Projek Berpotensi Tinggi dan Projek Berimpak Tinggi, sekali lagi membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Antara pencapaian utama Perak ialah penerimaan Anugerah Khas RKB menerusi Projek ePenghulu oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Perak turut menjadi antara tiga negeri yang menerima anugerah khas tersebut hasil kejayaan projek berkenaan mempercepat proses pendaftaran maklumat bagi bantuan mangsa bencana dan permohonan eKasih daripada satu jam kepada hanya lima minit.
Selain itu, Perak turut menerima Sijil Penghargaan atas pencapaian menyiapkan 17 projek RKB. Daripada jumlah tersebut, tujuh projek telah menerima pengiktirafan sebelum ini, manakala baki 10 projek menerima sijil pada majlis berkenaan.
Bagi kategori Projek Berpotensi Tinggi, Majlis Daerah Kerian menerima pengiktirafan menerusi projek mempercepat proses kelulusan permohonan pelan pemajuan aktiviti kolam penternakan akuakultur sedia ada daripada 99 hari kepada 25 hari.
Pejabat Kewangan Negeri Perak pula menerima pengiktirafan menerusi projek mempercepat penyediaan Dokumen Belanjawan Tahunan Kerajaan Negeri Perak daripada 153 hari kepada 45 hari melalui Sistem eBELANJAWAN.
Sementara itu, bagi kategori Projek Berimpak Tinggi, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak menerima pengiktirafan menerusi projek mempercepat tindakan penyelesaian ulasan teknikal tanah melalui Sistem e-TAPS daripada 331 hari kepada tiga hari.
Pengiktirafan tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, diiringi YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Chief Reform Officer (CRO) Negeri Perak, mewakili YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menerima Sijil Penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan sokongan berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperkasa agenda Reformasi Kerenah Birokrasi.
Hadir sama, YBrs. Puan Roziyah binti Sharif, Timbalan Pengarah (Pendaftaran), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak; YBhg. Dato’ TPr Gs. Mohamed Zamri bin Mohd Zain, Pengarah PLANMalaysia@Perak; YBrs. Ir. Haji Zamri bin Mat Kasim, Pengarah JKR Negeri Perak; Encik Saidi bin Haji Shaari, Pegawai Daerah Kerian; Encik Helmi bin Yusof @ Jusoh, Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian; YBrs. Dr. Mohd Sani bin Kamaruddin, Penghulu Besar, Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta serta Encik Ahmad Faiz bin Sakri, Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.
Dalam ucapannya, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar menegaskan bahawa pengiktirafan yang diberikan bukan noktah kepada usaha reformasi, sebaliknya amanah baharu untuk memastikan setiap inisiatif yang berjaya terus diperluaskan, amalan terbaik dikongsikan dan proses yang masih membebankan terus ditambah baik.
“Pengiktirafan bukan noktah. Pengiktirafan ialah amanah baharu. Projek yang berjaya mesti diperluas. Amalan yang berkesan mesti dikongsi. Proses yang masih membebankan mesti terus diperbaiki,” katanya.
Tambahnya lagi, Reformasi Kerenah Birokrasi bukan sekadar mengurangkan proses, sebaliknya mempercepat penyelesaian dan memudahkan urusan rakyat.
Katanya, reformasi sebenar ialah perubahan yang boleh dilihat, diukur dan dirasai oleh rakyat serta komuniti perniagaan.
Beliau turut memaklumkan RKB 2026 menyasarkan penyelesaian 500 projek dengan potensi penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.5 bilion, melalui pelaksanaan reformasi yang memberi manfaat kepada rakyat serta komuniti perniagaan.
Pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam menerusi pelaksanaan inisiatif reformasi yang berimpak tinggi, selaras dengan usaha meningkatkan kecekapan tadbir urus dan kesejahteraan rakyat.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.