Proses Penamaan Calon PRK Parlimen Kuala Kangsar Berjalan Lancar : 5 Jun 2016
Keempat-empat calon yang berjaya, diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar .
KUALA KANGSAR, 5 JUN 2016 - Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar, berjalan lancar dengan 4 calon bakal bertanding pada PRK yang akan diadakan pada 18 Jun 2016 nanti.
Senarai nama empat calon yang berjaya bertanding diumumkan oleh Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria kira-kira jam 10.00 pagi di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar.
Calon yang bakal bertanding ialah Datin Mastura Yazid dari parti Barisan Nasional (BN) yang juga merupakan balu kepada bekas penyandang Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham YB, Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; Ketua Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak, Najihatussalehah Ahmad dari Parti PAS; Naib Ketua Parti Amanah Negara (PAN), kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli yang juga merupakan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Kira-kira 6,000 penyokong parti-parti yang bertanding, berkumpul di kawasan penamaan calon itu sejak 7.00 pagi tadi bagi memberi sokongan pada calon masing-masing.
SPR menentapkan proses pengundian awal akan diadakan pada 14 Jun di Dewan Tun Salleh Ismael, Kompleks Perumahan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar bagi pengundi dari Bukit Chandan manakala bagi pengundi Manong di Bilik Mesyuarat Balai Polis Manong.
Manakala pada hari mengundi pada 18 Jun 2016, sebanyak 25 pusat daerah mengundi disediakan dengan 71 saluran iaitu di 19 buah sekolah rendah dan menengah, dua dewan orang ramai, dua Sekolah Agama Rakyat dan dua Ibu Pejabat Polis Daerah.
Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar terdiri 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330).
PRK P.067 Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi YB Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak bersama-sama YB Ahli Parlimen Sungai Besar, Tan Sri Noriah Kasnon.
Calon dari setiap parti mengemukan borang permohonan di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar. |
|
Calon-calon yang bakal bertanding pada PRK P.067 Kuala Kangsar. | |
Antara tetamu yang turut hadir di hari penamaan calon. | |
Pencadang calon BN itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong Mohamad Kamil Shafie dan disokong ADUN Bukit Chandan Mohamad Kamil Razman turut hadir ke hari penamaan calon. |
Sumber : Korporat, SUK Perak.