Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 5.
YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad merasmikan Bas Jabatan Perubatan Transfusi HRPB di pekarangan Stadium Indera Mulia.
IPOH, 12 Jun 2023- Kerajaan Negeri Perak telah menganjurkan Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 siri ke-5 di Stadium Indera Mulia, petang ini.
Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, selain daripada 92 kaunter khidmat pelanggan yang disediakan, siri kali ini merupakan salah satu pengisian Program Pesta Budaya Nusantara@Ipoh 2023 dan Pameran Kereta Klasik anjuran Majlis Bandaraya Ipoh yang berlangsung sejak 10 Jun sehingga malam ini.
“Penganjuran program bersempena ulang tahun Bandaraya Ipoh ini bertujuan untuk memeriahkan sambutan Tahun Melawat Ipoh 2023 melalui program kesenian dan kebudayaan masyarakat.
“Ia melibatkan gabungan persembahan dari Bandaraya Nanning, China dan Kota Medan, Indonesia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah,” jelas beliau ketika sidang media selepas program berkenaan.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad turut merasmikan Bas Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di pekarangan Stadium Indera Mulia.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri berbesar hati menyampaikan sumbangan sebanyak RM300,000.
Menurut kenyataan media dari pihak HRPB, Bank Kerjasama Rakyat turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000.
Bas ini bertujuan untuk menjimatkan tenaga kerja dan kos operasi kerana kelengkapan barang dan anggota dapat dibawa bersama berbanding sebelum ini yang dua buah van derma darah perlu digunakan dan secara tidak langsung dapat memberi promosi bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.