25,000 Pengunjung Hadir Acara Penutupan SUKMA PERAK 2018 : 22 September 2018
Persembahan bunga api memeriahkan lagi suasana penutup SUKMA Perak.
IPOH, 22 SEPTEMBER 2018 - Seramai 25,000 pengunjung dari seluruh negeri hadir pada majlis penutup Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018 yang berlangsung di Stadium Perak.
Penutupan rasmi kejohanan yang menawarkan 427 pingat emas membabitkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak, telah disempurnakan YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Binti Dr Wan Ismail.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dan YB Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman.
Terdahulu, pra-persembahan bermula sekitar jam 5 petang membabitkan persembahan akrobatik oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), simfoni perpaduan yang mempamerkan persembahan gendang daripada pelbagai kaum serta persembahan kumpulan kesenian.
Majlis penutupan rasmi kejohanan itu telah dimulakan dengan perbarisan lintas hormat kontinjen negeri-negeri membabitkan 1,539 atlet.
Sebaik penyerahan bendera kejohanan dan obor diserahkan kepada Johor selaku tuan rumah edisi ke-20 pada tahun 2020, acara persembahan penutup secara gilang-gemilang dipersembahkan kepada ribuan penonton yang hadir.
Ia termasuk persembahan artis popular tanah air, Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Awie diikuti persembahan kebudayaan negeri Perak dan pertunjukan bunga api.
Kejohanan kali ini menyaksikan Terengganu mengungguli kejohanan dengan menggondol 56 emas diikuti Wilayah Persekutuan 52 emas, Selangor 47 emas, Sarawak 42 emas dan tuan rumah, Perak, di kedudukan kelima dengan 37 emas.
Persembahan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Johor turut membuat persembahan dalam acara penutup yang berlangsung. | |
YAB Menteri Besar menyerahkan bendera kejohanan kepada YAB Menteri Besar Johor sebagai simbolik untuk penganjuran SUKMA 2020 di Johor. | |
Kontinjen Terengganu diisytiharkan sebagai johan keseluruhan SUKMA XIX Perak 2018. | |
YAB Menteri Besar Johor menjulang obor sebagai simbolik kepada penganjuran SUKMA di Johor pada tahun 2020. | |
Sebahagian pengunjung yang hadir pada acara penutup SUKMA Perak yang berlangsung. | |
 |
YAB Timbalan Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Atlet Wanita Terbaik SUKMA XIX Perak 2018 kepada atlet Terengganu, Azreen Nabila Alias. |
YAB Timbalan Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Atlet Lelaki Terbaik SUKMA XIX Perak 2018 kepada atlet Sabah, Eugenius Lo Fah Soon. |
Sumber : Korporat, SUK Perak.