Isnin, 20 Januari 2020
 
  • Kemaskini Terakhir: 20 Januari 2020
 
lain
faq2 seperator hubungi2 seperator maklumbalas2 seperator peta2
Soalan Lazim Hubungi Kami Maklumbalas Peta Laman

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Bertitah Ahli Jawatankuasa Masjid Wajib Pelihara Kesucian Masjid

DYMM Paduka Seri Sultan Perak menyampaikan titah di majlis tersebut.

IPOH, 24 OKTOBER 2019 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan ahli jawatankuasa masjid wajib melindungi kesucian masjid daripada sebarang perbuatan dan percakapan yang boleh menodai kesuciannya.

Baginda bertitah, para pemegang amanah yang diberikan tanggungjawab mengurus masjid di negeri ini, perlu memahami falsafah kewujudan serta peranan utama masjid sebagai institusi  menyatupadukan ummah, institusi yang wajib dimuliakan dan diimarahkan.

"Ahli-ahli jawatankuasa kariah, hendaklah membantu Beta, pada setiap masa melindungi masjid daripada dicemari oleh aktiviti yang boleh memecahbelahkan ahli-ahli kariah.

"Sedarilah! musuh utama yang berpotensi besar mencemari masjid dan memecahbelahkan ummah ialah kegiatan politik berpuak secara keterlaluan," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid Negeri Perak Tahun 2019 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru.

Turut hadir YB Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Tuan Haji Asmuni Bin Awi; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bin Bari; YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato' Rohana Binti Abd Malek.

Dalam pada itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menegur tindakan individu-individu daripada kumpulan politik tertentu menggunakan beberapa pertubuhan bukan politik serta bukan kerajaan  (NGO) dan memperkenalkan program tertentu untuk dijalankan di dalam atau kawasan masjid.

Titah baginda, program yang membawa jenama tertentu itu dijadikan topeng untuk melindungi niat sebenar yang tersirat.

"Kebenaran dikorbankan kerana emosi sudah mengatasi kerasionalan. Fitnah menjadi lumrah, diolah termasuk oleh kalangan yang mematuhi kesemua lima Rukun Islam dan penyebaran fitnah dipermudahkan dan dirancakkan dengan adanya media sosial," titah baginda.

Selain itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut mengimbau sejarah pembinaan beberapa masjid terkemuka di Perak antaranya Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar yang diiktiraf antara lima masjid tercantik di dunia; Masjid Panglima Kinta yang berusia 121 tahun; Masjid India Muslim dan Masjid  Muhammadiah atau Masjid Cina Muslim yang semuanya terletak di bandaraya Ipoh.

Sehubungan itu, baginda menitahkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak supaya mendokumentasikan sejarah pembinaan masjid secara digital sebagai bahan ilmiah berharga untuk dijadikan rujukan agar  generasi akan datang mengenali serta memahami asal usul pembinaan rumah-rumah Allah itu.

"Agar mereka tidak mengambilnya secara mudah lantas bersifat kacang lupakan kulit, tidak menghargai penat jerih, jasa bakti pengorbanan generasi terdahulu yang mengambil tanggungjawab mengusahakan pembinaan masjid-masjid di negeri  Perak," titah baginda.

Baginda bertitah, berdasarkan rekod terdapat 609 masjid, 63 surau diri Jumaat dan 1,945 surau di Perak ketika ini dengan setiap satu memiliki identiti serta sejarah tersendiri di sebalik pembinaannya.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Bertitah Ahli Jawatankuasa Masjid Wajib Pelihara Kesucian Masjid DYMM Paduka Seri Sultan Perak bersalaman dengan tetamu yang hadir.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Bertitah Ahli Jawatankuasa Masjid Wajib Pelihara Kesucian Masjid Antara tetamu yang hadir di majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.