Isnin, 20 Januari 2020
 
  • Kemaskini Terakhir: 20 Januari 2020
 
lain
faq2 seperator hubungi2 seperator maklumbalas2 seperator peta2
Soalan Lazim Hubungi Kami Maklumbalas Peta Laman

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Dianugerah Darjah Kebesaran DYMM Paduka Seri Sultan Perak

YB Dato' Haji Zainal Azman bin Abu Seman telah dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato'.

KUALA KANGSAR, 10 NOVEMBER 2019 - YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Dato' Haji Zainal Azman bin Abu Seman telah dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran “Dato'” sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah.

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran pada tahun ini telah didahului oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Seri Panglima Abd Hamid bin Bador yang menerima Darjah Seri Panglima Taming Seri (SPTS) dan membawa gelaran "Dato' Seri Panglima".

Selain YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Ketua Polis Negara, turut menerima darjah kebesaran adalah Setiausaha Dewan Negara Perak, YDH Toh Amar Seri DiRaja Dato' Seri Ayop bin Hashim yang dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) dan membawa gelaran "Dato' Seri".

Berangkat pada istiadat itu DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan DYTM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan turut berkenan mengurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato' kepada 12 tokoh dan individu termasuk salah seorang menerima darjah kehormat.

Antara yang menerima DPMP adalah dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato' Asmuni bin Awi dan YB Dato' Abdul Yunus bin Jamahri; Timbalan Mufti Perak, Dato' Zamri bin Hashim serta Pegawai Pembangunan Negeri, Dato' Zulazlan Abu Hassan.

Sementara, His Excellency Mr. Mahmoud H.S. Qattan, Duta Arab Saudi ke Malaysia menerima DPMP Kehormat.

Selain itu, Baginda turut perkenan mengurniakan Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran “Dato’ Pahlawan” kepada empat penerima iaitu Bridgedier Jeneral Dato' Mustaffa bin Othman dari Kementerian Pertahanan; SAC Dato' Azizi bin Mat Aris dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia; Laksamana Pertama Dato' Affenddy bin Suhaimi dari Kementerian Pertahanan dan Brigedier Jeneral Dato' Dr Rozali bin Ahmad dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Terdahulu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormat 106 pegawai dan anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja Dua Divisyen diketuai oleh Mejar Mohd Iqbal Mohd Zainuddin.

Pada sambutan tahun ini, DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menganugerahkan 254 darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang disambut 1 November baru-baru ini.

Majlis penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran yang lain akan disempurnakan pada 16 November ini.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Dianugerah Darjah Kebesaran DYMM Paduka Seri Sultan Perak DYMM Paduka Seri Sultan Perak memeriksa Istiadat Kawalan Kehormatan.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Dianugerah Darjah Kebesaran DYMM Paduka Seri Sultan Perak YAB Menteri Besar Perak menghadap mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia mewakili kerajaan dan rakyat.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Dianugerah Darjah Kebesaran DYMM Paduka Seri Sultan Perak DYTM Raja Muda Perak menghadap mempersembahkan ucapan Tahniah dan Taat Setia bagi Pihak Raja-Raja dan Orang Besar Perak.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Dianugerah Darjah Kebesaran DYMM Paduka Seri Sultan Perak YDH Toh Amar Seri DiRaja Dato' Seri Ayop bin Hashim yang dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) dan membawa gelaran Dato' Seri.

Sumber : Korporat, SUK Perak.