Semua Jabatan Harus Beri Tumpuan Perkenal Inovasi Baharu Dalam Sistem Penyampaian.: 15 Oktober 2020.
YAB Menteri Besar Perak menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Inovasi Negeri Perak.
IPOH, 15 Oktober 2020 – Kerajaan Negeri Perak berharap semua jabatan dan agensi dapat akan memberi tumpuan untuk memperkenalkan inovasi-inovasi baharu dalam sistem penyampaian sesuai dengan norma baharu.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu dalam ucapannya berkata, kepentingan inovasi perlu dilihat secara holistik bagi memastikan polisi-polisi yang tidak lagi sesuai dengan zaman ini perlu dilihat semula dalam mempertingkatkan sistem penyampaian kerajaan.
“Kita biasa beranggapan bahawa inovasi adalah usaha yang melibatkan penggunaan teknologi, kejuruteraan atau sesuatu yang bersifat saintifik dalam penyelesaian masalah.
"Dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri dan penjawat awam, inovasi tidak perlu terhad kepada elemen-elemen yang saya sebutkan tadi. Antara inovasi yang boleh kita lakukan adalah seperti mengkaji semula peraturan, garis panduan dan amalan yang tidak lagi relevan kepada keadaan semasa,” ujarnya semasa menyempurnakan Sambutan Hari Inovasi 2020 Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan bin Abu Hassan; YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Tuan Ahmad Saidi bin Mohamad Daud dan barisan EXCO Kerajaan Negeri Perak.
Dalam majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu turut menyampaikan Anugerah Utama Inovasi 2020 Negeri Perak kepada Kumpulan Viper daripada Jabatan Veterinar Negeri Perak yang telah membawa pulang wang tunai RM5,000.00 dan trofi.
Kumpulan tersebut mengetengahkan projek Viblower yang telah dihasilkan untuk mengatasi masalah penangkapan dan pelupusan anjing terbiar semasa wabak Rabies.
Selain itu, lima penerima Anugerah Potensi Inovasi 2020 Negeri Perak adalah Kumpulan Ladang Ayer Kuning (Perbadanan Pertanian Negeri Perak); kumpulan SmarBiz20 (Majlis Bandaraya Ipoh); Kumpulan Rainbow (Jabatan Kerja Raya Daerah Kerian); Kumpulan Last Call Jerr (Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Larut Matang dan Selama) dan Kumpulan Fast-T (Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Hilir Perak.
Kelima-lima penerima anugerah tersebut membawa pulang wang tunai RM1,000.00 dan trofi.
Manakala johan Pertandingan Logo Inovasi Perkhidmatan Negeri Perak telah dirangkul oleh Encik Mohd Firdaus Bin Abd Hamid daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan telah membawa pulang wang tunai RM100.00
Tempat kedua dan ketiga pertandingan yang sama telah dirangkul oleh Encik Muhammad Syakir Bin Jebat dari Bahagian Dewan Negeri Dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat SUK Perak dan Encik Azmi Bin Mohamed Asmayatim dari Bahagian Korporat, Pejabat SUK Perak.
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM800.00 dan RM500.00.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.