Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Perkenan Lantik Adun Kota Tampan Sebagai Menteri Besar Yang Baharu. : 10 Disember.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak menyampaikan watikah pelantikan YAB Menteri Besar Perak.

KUALA KANGSAR, 10 Disember -  DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, YB Dato' Haji Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Negeri Perak yang baharu.

Baginda Sultan turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada YB Dato' Haji Saarani Mohamad yang telah diperkenankan untuk diberi tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak yang ke-14.

"Selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan,  ADUN Kota Tampan, telah mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

"Beta menzahirkan tahniah kepada YB Dato' Haji Saarani Mohamad yang telah diperkenankan untuk diberi amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar kepada 'kerajaan beta'," titah Baginda.

Tegas Baginda, setiap ADUN yang dipilih rakyat perlu terus menjalankan amanah yang telah diberikan tidak kira daripada barisan ADUN kerajaan dan bukan kerajaan.

"Tanggungjawab dan amanah tidak harus sama sekali dipandang ringan atau diringankan, kesemua rakyat Perak mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati, penuh harmoni.

"Rakyat jelata jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak henti-henti beradu," titah Baginda semasa Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah di sini pagi ini.

Pada perkembangan sama YB Dato' Haji Saarani Mohamad dipilih bagi menggantikan Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu yang meletak jawatan bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Disember lalu.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.