Skip to main content

Executive Talk Dan Amanat Tahun Baharu 2021 YAB Menteri Besar Perak.: 1 Februari 2021.

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan amanat Tahun Baru 2021.

IPOH, 1 Februari 2021- Sempena Executive Talk dan Amanat Tahun Baharu 2021 YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad menekankan lima aspek yang perlu diberi fokus sepanjang tahun 2021.

Kesemua lima fokus ini juga merupakan kunci kepada agenda penting Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Lima fokus tersebut adalah seperti berikut:-

  1. Merangsang Ekonomi Yang Berdaya Tahan

YAB Menteri Besar menyarankan agar kerajaan negeri melihat peluang-peluang penjanaan hasil kepada negeri pada tahun 2021 tanpa memperkenalkan cukai-cukai baru yang boleh membebankan rakyat dan pemain industri. Pelbagai kaedah boleh difikirkan antaranya:-

  • Pendekatan lebih mesra untuk mengutip hasil dengan meneruskan pemberian diskaun tunggakan cukai tanah atau pengecualian denda lewat cukai tanah. Ini secara tidak langsung menggalakan pembayar cukai untuk membayar cukai dengan segera selain berpotensi menarik lebih ramai orang untuk membayar cukai.
  • Mengkaji semula perjanjian-perjanjian dan dasar-dasar sedia ada yang boleh membawa manfaat kepada negeri dan rakyat terutama dalam sektor yang melibatkan tanah, air dan sumber hutan.
  • Meningkatkan penguatkuasaan dan mengelakkan ketirisan hasil dengan memastikan hasil negeri tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak secara haram.
  • Meneroka hasil-hasil baharu dengan memanfaatkan potensi Perak yang berada dalam kedudukan yang strategik di samping adanya sumber dan aset seperti mineral, sumber asli, pelabuhan serta kekayaan flora dan fauna.
  • Fokus kepada bidang pertanian yang dilihat begitu penting demi menjamin sekuriti makanan.
  1. Memantapkan Sistem Penyampaian Awam

YAB Menteri Besar menggariskan 3 pendekatan yang boleh diterapkan oleh penjawat awam negeri Perak dalam menambahbaik penyampaian perkhidmatan:

  • Pasang telinga, buka mata - Sikap ini perlu diterapkan dalam kalangan kita agar lebih peka dengan masalah yang berlaku di sekeliling dan mengambil tindakan awal untuk menanganinya.
  • Turun padang, atur langkah penyelesaian - Sikap mendekati rakyat secara proaktif ini perlu dijadikan amalan setiap jabatan, kita tidak boleh lagi sekadar duduk di pejabat untuk menerima aduan dan perlu sentiasa berada di lapangan untuk mengenal pasti isu-isu, mengetahui masalah dan keperluan rakyat.
  • Bersama berganding bahu - Sikap kebersamaan perlu diperkukuhkan di antara agensi negeri dan persekutuan termasuk badan berkanun dan GLC serta menolak ke tepi perbezaan status quo dan ego. Semua jabatan dan agensi berganding bahu demi mencapai matlamat untuk kepentingan bersama, bukan kepentingan individu tetapi lebih kepada shared goal yang hendak direalisasikan.
  1. Menegakkan Keadilan Sosial dan Pembasmian Kemiskinan

YAB Menteri Besar menegaskan bahawa Pembasmian kemiskinan perlu kembali menjadi agenda penting kerajaan. Projek-projek berimpak tinggi perlu dilipatgandakan bagi menangani isu kemiskinan, pengangguran dan mengurangkan jurang pendapatan.

  1. Memacu Pemodenan dan Budaya Pendigitalan

YAB Menteri Besar menyifatkan bahawa Kerajaan Negeri akan memudah cara dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi atas usaha peningkatan infrastruktur digital dengan matlamat untuk menambah baik liputan dan kualiti perkhidmatan telekomunikasi untuk memastikan kesinambungan dan kepelbagaian infrastruktur dalam menyokong ekosistem digital serta memastikan perkhidmatan yang berkualiti disediakan kepada pengguna.

  1. Meneraju Kelestarian Sumber dan Alam Sekitar

YAB Menteri Besar menuntut agar Kerajaan negeri komited untuk menjadi peneraju kelestarian sumber dan alam sekitar dengan mewujudkan suatu pelan yang holistik untuk mempromosikan agenda “Perak Bumi Lestari”. Agenda ini diharap mampu mengerakkan pembangunan negeri secara lestari.

Strategi melaksanakan agenda Perak Bumi Lestari saya gariskan  seperti berikut:-

  • Membudayakan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar - Antara usaha yang perlu diberi tumpuan di bawah strategi ini adalah meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap alam sekitar; melaksanakan tindakan segera dan proaktif bagi menangani isu dan masalah berkaitan alam sekitar serta memperkukuh peranan sektor swasta dalam pengurusan alam sekitar. Amalan menghindari plastik sekali guna atau single use plastic misalnya perlu diterapkan di jabatan masing-masing sebagai sebahagian daripada proses pembudayaan.
  • Membina Persekitaran Kondusif Berlandaskan Teknologi Hijau - Kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dengan pihak swasta melalui Public Private Partnership (PPP) bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif teknologi hijau bagi menyokong pembinaan persekitaran kondusif. Contoh-contoh projek berasaskan sumber tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) adalah seperti tenaga solar, hidro, geoterma dan sebagainya. Para pelabur berkaitan industri teknologi hijau akan berminat untuk melabur jika kita menyediakan insentif atau pakej yang menarik untuk mereka.
  • Memastikan Pembangunan Seimbang - Kerajaan Negeri Perak komited untuk merangka strategi pembangunan yang seimbang, yakni menjaga dan memulihara alam semula jadi di samping melaksanakan pembangunan. Antara fokus di bawah strategi ini adalah mengharmoni dan mengintegrasi dimensi alam sekitar dalam dasar semua sektor; serta memantapkan penguatkuasaan berkaitan isu-isu alam sekitar.

Kelima-lima teras utama tersebut disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad dalam ucapannya pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2021 yang dilakukan secara maya di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Turut hadir, YB Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Hj Mohamed Zahir bin Abd. Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abd. Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Tuan Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zulazlan Bin Abu Hassan serta YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Dalam perkembangan sama, ia merupakan majlis pertama yang dilakukan secara maya dengan melibatkan semua barisan ADUN, ketua jabatan negeri dan ketua jabatan persekutuan di negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.