Skip to main content

Program Mesra Bersama Yab Menteri Besar.: 9 Mac 2021.

YAB Menteri Besar bersama salah seorang pengunjung Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA)

KERIAN, 9 Mac 2021- Daerah Kerian menjadi destinasi pertama bagi Program Menteri Besar Perak Bersama Rakyat (Mesra) yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, siri program tersebut dimulakan dengan Majlis Executive Talk bersama warga pendidik di daerah itu.

“Program Mesra ini diadakan bagi memberi ruang kepada pemimpin kerajaan negeri untuk mendekati rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Perak.

“Pada esok pagi akan diadakan program ‘mengopi’ bersama Menteri Besar dan diikuti dengan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang akan bermula pada jam 10.30 pagi.

“Format kali ini kita akan memberi ruang terlebih dahulu kepada Pegawai Daerah untuk membentangkan isu berkaitan pembangunan daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Majlis Executive Talk bersama warga pendidik Daerah Kerian di Dewan Kerian Permai, Parit Buntar.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud dan Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi bin Mohamed Ali.

Tambah YAB Dato’ Saarani bin Mohamad lagi, kemuncak program Mesra pada hari Rabu ini akan membabitkan agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Galian, Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya.

“Pada hari Khamis pula, program Mesra akan dimulakan dengan program ‘Moh Ngopi Bersama Menteri Besar’ di Bagan Serai bersama Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri).

“Kemudian, kita akan melawat beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing sebelum bergerak pulang ke Ipoh,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, program Mesra berkemungkinan akan diperluaskan ke daerah-daerah lain di negeri ini pada masa akan datang.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.