Skip to main content

6 Kelopak Bunga Lambang Teras Wanita Perak.: 17 Mac 2021.

YAB Menteri Besar Perak ketika berucap di Majlis Pelancaran Logo Wanita Perak

IPOH,17 Mac 2021- Reka bentuk enam kelopak bunga dipilih sebagai logo rasmi identiti Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) yang melambangkan enam fokus portfolio mereka.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Negeri, Dato’ Dr. Wan Norashikin Binti Wan Noordin berkata, logo yang dicipta oleh Saiful Akmal Mohd Saadi itu dipilih hasil Pertandingan Rekacipta Logo Sekretariat Wanita Perak yang diadakan selama 10 hari bermula 1 Mac lalu.

“Pada asasnya bentuk logo ini adalah sekuntum bunga berkelopak yang mengambarkan sifat wanita yang terkenal dengan kecantikan serta kelembutan dan terdapat enam kelopak yang direka berselang seli daripada huruf ‘W’ dan ‘M’ yang membawa maksud ‘wanita dan masyarakat.

““Kelopak tersebut menggambarkan enam teras fokus portfolio Wanita Perak iaitu Wanita Kepimpinan, Wanita Pertahan, Wanita Usahawan, Wanita Insan, Wanita Kesihatan dan Masyarakat Lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Logo Wanita Perak yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim serta seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Jelas YB Dato’ Dr. Wan Norashikin lagi, warna di setiap kelopak diselang-seli membawa maksud kesamarataan tanpa mengira kepelbagaian lapisan masyarakat dan ketiga-tiga warna yang digunakan menjadi signifikan buat Negeri Perak.

“Warna kuning melambangkan Negeri Perak yang menjunjung kedaulatan, warna ‘Silver’ dalam erti kata lain adalah ‘Perak’ dan ‘Dusty Pink’ warna yang begitu sinonim dengan wanita,” katanya.

Dalam perkembangan sama, penubuhan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) pada 1 Januari lalu bertujuan untuk merencana dasar, polisi, dan strategi berkaitan pembangunan wanita, masyarakat serta sosial di Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.