Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Titah Jangan Jadikan Mahkamah Gelanggang Tegakkan Benang Basah. 19 Mac 2021

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota MAIPk

IPOH, 19 Mac 2021- Ramai pihak yang menjadikan mahkamah sebagai gelanggang untuk menegakkan benang basah dengan menggunakan pelbagai hujah bagi menafikan perbuatan jenayah mereka.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah dengan menjadikan Islam hanya sebagai pakaian luaran, mereka tergamak untuk terus berbohong walaupun telah melafazkan sumpah dengan nama Allah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.

Titah baginda, mereka juga bersedia membayar yuran guaman tinggi hasil dariada wang yang diperoleh melalui sumber jenayah atau perlakuan dosa.

“Perbuatan menipu, mencuri, menyeludup, pecah amanah, rasuah dan lari daripada membayar cukai turut memberikan implikasi terhadap individu lain serta rakyat sesebuah negara.

“Malangnya ketika ini, oleh sebab Islam lebih dijadikan pakaian luaran, ramai insan tidak berasa takut melakukan dosa dan tidak berasa gentar menghadapi seksa kubur dan azab neraka.

“Hinggakan insan yang telah melakukan pelbagai jenayah dan dosa, memilih menjadikan mahkamah gelanggang untuk menegakkan benang basah, tergamak terus berbohong walaupun telah melafazkan sumpah dengan nama Allah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.

“Sering terjadi ketika dihadapkan ke muka pengadilan, insan yang telah melakukan dosa, mencari pelbagai alasan dan menggunakan pelbagai hujah mahu menafikan perbuatan mereka yang telah melakukan dosa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim; Yang Dipertua MAIPk, YABhg. Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini  serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Dalam titah itu juga, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah golongan belia perlu diberikan kepercayaan untuk terlibat secara aktif, berada di barisan hadapan, meremajakan program-program yang diadakan bagi menyuntik dinamisme baharu.

“Sejarah turut mencatatkan karisma kepimpinan anak muda mencipta kejayaan apabila diberikan peluang seperti yang dibuktikan oleh Muhammad al-Fatih, menaiki takhta Kesultanan Uthmaniyyah ketika berusia 19 tahun.

“Ketika berusia 21 tahun berjaya menakluki Constantinople. Alexander The Great mewarisi takhta pemerintahan Macedonia ketika berusia 20 tahun, sementara Salahuddin al-Ayubi menjadi Sultan di Mesir dan mengasaskan Kerajaan Ayubbiyah ketika berusia 37 tahun.

“Jadi golongan remaja wajib didampingi, suara didengari, pandangan difahami dan kehadiran mereka diiktiraf, agar program-program yang dianjuri atas nama Islam, berbentuk lebih relevan,” titah baginda.

Pada perkembangan sama, mengambil iktibar daripada pelbagai sumber akan peranan penting golongan remaja mencipta sejarah, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan, buat pertama kalinya, melantik dua orang mewakili belia.

Seorang lelaki dan seorang wanita, sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), jadi dengan pelantikan seorang lagi anggota wanita, MAIPk kini memiliki tiga orang anggota wanita.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.