Skip to main content

70,000 Pelajar B40 Terpilih, Terima Telefon Pintar Dan Sim Kad Percuma. 1 April 2021

YAB Menteri Besar Perak bergambar bersama pelajar yang menerima bantuan telefon pintar pada Majlis Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar di Dewan Dato’ Hambal, Bota.

PARIT, 1 April 2021- Kerajaan Negeri Perak di bawah inisiatif Program Tuisyen Cikgu Saarani telah melancarkan Penyampaian Telefon Pintar Peringkat Negeri Perak bersempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) di Parlimen Parit.

Inisiatif tersebut merupakan sumbangan daripada Yayasan YTL dan usaha daripada YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud bagi mengupayakan pendidikan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40).

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, sebanyak 20,000 unit telefon pintar berserta sim kad yang dilengkapi dengan pelan data sebanyak 10GB setiap bulan secara percuma untuk tempoh setahun akan diberikan kepada pelajar terpilih.

“Selain itu, sebanyak 50,000 sim kad yang dilengkapi dengan pelan data 40GB bagi tempoh 60 hari akan diberikan kepada 50,000 pelajar tepilih di seluruh daerah di Negeri Perak.

“Jadi secara keseluruhannya, seramai  70,000 pelajar atau murid sekolah di Negeri Perak akan menerima manfaat melalui inisiatif yang akan dijalankan secara berperingkat bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penyampaian Telefon Pintar Peringkat Negeri Perak di Dewan Dato’ Ahmad Hambal, Bota di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud;YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak merangkap ADUN Bota, Encik Khairul Shahril bin Mohamed; YB Ahli Parlimen Parit, Dato’ Mohd Nizar bin Zakaria dan Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad, Encik Syed Abdullah Alhadad.

Jelas YAB Dato’ Saarani bin Mohamad lagi, walaupun sesi persekolahan bermula Mac lalu, kerajaan negeri tetap komited dalam memastikan pelajar-pelajar khususnya yang kurang berkemampuan dapat menggunakan sepenuhnya bantuan yang disediakan untuk meningkatkan prestasi akademik melalui kaedah pembelajaran secara online.

“Bagi mengembalikan kegemilangan Negeri Perak sebagai pusat pendidikan utama, pelbagai perancangan telah dirangka bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar samada dalam jangka masa pendek atau panjang di bawah inisiatif Cikgu Saarani yang sedang diperhebatkan.

“Selain itu kita akan terus memberi fokus bagi memastikan tiada golongan yang dipinggirkan di dalam sistem pendidikan inklusif bagi mencungkil potensi setiap pelajar melalui kaedah penyediaan pendidikan berkualiti,” katanya.

Terdahulu  YAB Dato’ Saarani bin Mohamad telah menghadiri Program Beramah Mesra bersama Orang Kena Pengawasan (OKP).

Dalam program tersebut, beliau telah meluangkan masa bagi memberi sokongan dan semangat kepada OKP yang sedang dalam proses pemulihan untuk tidak berputus asa dalam hidup mereka.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.