Skip to main content

Penjawat Awam Perlu Sedia Hadapi Perubahan Dan Penambahbaikan Sistem Kerja Sedia Ada . : 2 April 2021

YB Setiausaha Kerajaan Negeri menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 dan Penghargaan Pesara Tahun 2021 Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

IPOH, 2 April 2021 - Bagi menghadapi norma baharu dan ekosistem pembangunan negara yang kian mencabar ini, penjawat awam memainkan peranan besar dan perlu sentiasa bersedia untuk mendepani perubahan dan penambahbaikan sistem kerja sedia ada.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim berkata, menyambut seruan aspirasi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, penjawat awam perlu bersama-sama berubah dan mengubah perkhidmatan awam kepada perkhidmatan yang dihormati, disegani, diteladani kerana kepantasan perkhidmatannya, integritinya dan profesionalisme.

“Ini juga seiring dengan hasrat YAB Menteri Besar Perak untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui tiga pendekatan yang perlu diterapkan.

“Yang pertama ialah pasang telinga buka mata supaya kita lebih peka dengan masalah dan mengambil tindakan awal, seterusnya, turun padang, atur langkah penyelesaian dan dengan cara ini kita akan dapat mendekati rakyat dengan lebih proaktif serta mengenal pasti masalah atau keperluan rakyat dari semasa ke semasa dan yang terakhir iaitu bersama berganding bahu sebagai contoh jalinan kerjasama strategik antara jabatan kerajaan, pihak swasta dan NGO. Sesungguhnya jalinan kerjasama ini amat penting supaya idea penambah baikan sistem kerja dapat digarap dengan lebih meluas lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020, Penghargaan Pesara Tahun 2021 Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Perak Royal Golf Club, di sini.

Hadir sama, YBhg. Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Mohd Ridza bin Awang dan YBhg. Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Dato’Mohamed Zin bin Yusop.

Jelas YB Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim lagi, Kerajaan Negeri Perak komited dalam mencapai visi Perak Makmur, Rakyat Sejahtera dengan melancarkan Roadmap Pelan Pembangunan Negeri Perak Sejahtera 2030.

“Roadmap ini merupakan rancangan penyediaan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang mengandungi empat fasa dan dijangka selesai pada fasa keempat yang dijadualkan sekitar November 2021 sehingga Februari 2022.

“Pelan ini mempunyai lima teras strategik iaitu keseimbangan pembangunan fizikal dan sosioekonomi; kerjasama pintar; kelestarian penggunaan sumber dan alam semulajadi; sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan ambil peduli dan kepakaran berkualiti dan bernilai tinggi.

“Kelima-lima teras strategi tersebut akan turut didukung oleh lima nilai bersama iaitu jujur, bijaksana, prihatin, kebersamaan dan tegas. Jadi bagi merealisasikan agenda ini, penjawat awam perlu menghayati pelan ini dan seterusnya sama-sama berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada kepada rakyat,” katanya.

Dalam majlis itu juga, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim turut melancarkan sistem online ‘Jompay’ Jabatan Perhutanan Negeri Perak. Sistem tersebut adalah satu pendekatan baharu yang di ambil oleh Jabatan Perhutanan Negeri bagi menyampaikan perkhidmatan secara efisien.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.