Kerajaan Negeri Tanggung Kos Pembaikan Rumah Rosak Akibat Ribut. : 19 April 2021.
YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada salah seorang mangsa.
IPOH, 19 April 2021- Kerajaan Negeri Perak akan menanggung sepenuhnya kos pembaikan 127 rumah di Kampung Tasek yang rosak akibat hujan lebat dan angin ribut kencang pada Rabu lalu.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata kos pembaikan yang dianggarkan sebanyak RM150,000 ke RM200,000 itu akan disalurkan kerajaan negeri melalui Yayasan Perak.
“Pejabat daerah telah maklumkan kos pembaikan di antara RM150,000 ke RM200,000 dan kerajaan negeri bersetuju untuk membiayai sepenuhnya kos pembaikan tersebut walaupun rumah itu rumah sewa.
“Selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta telah mengenal pasti kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan tersebut yang mana ianya akan bermula esok,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Bencana kepada mangsa yang terjejas ekoran hujan lebat dan angin ribut di Kampung Tasek di sini.
Sejurus menyampaikan sumbangan kepada penerima, YAB Dato’ Saarani sempat melakukan tinjauan bagi melihat sendiri keadaan rumah-rumah yang terkesan akibat ribut
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi bin Baharin; YB Ahli Parlimen Ipoh Barat, M.Kulasegaran dan Pegawai Daerah Kinta, Encik Meor Hezbullah bin Meor Abdul Malik.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan tambahan berupa wang tunai dan kotak bantuan makanan yang mengandungi pelbagai makanan kering kepada mangsa-mangsa terlibat.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.