Skip to main content

Perak Membuka Pusat Rawatan Covid Risiko Rendah (PKRC) Berikutan Kes Yang Meningkat.: 19 Mei 2021

YAB Menteri Besar Perak ketika sidang media secara atas talian di Bangunan Perak Darul Ridzuan

IPOH, 19 Mei 2021- Kerajaan Negeri Perak telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan meningkatkan kapasiti Pusat Rawatan Covid Risiko Rendah (PKRC) di Stadium Badminton Ipoh daripada 208 kepada 308 katil bagi menampung kes positif yang dijangka meningkat dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti lokasi PKRC yang baharu sama ada di Zon Utara atau di kawasan Hilir Perak/Manjung sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan kes jangkitan yang berlarutan.

“Perak tidak lagi boleh bergantung kepada PKRC di MAEPS Serdang, Selangor atau di Jawi, Seberang Perai di Pulau Pinang memandangkan kedua-dua pusat rawatan tersebut juga menghadapi peningkatan jumlah pesakit,” kata YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad semasa bertemu media secara siaran atas talian.

Kerajaan Negeri Perak juga telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan makan minum kepada petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai sokongan berterusan khususnya kepada petugas barisan hadapan yang terus berjuang memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Dalam pada masa yang sama, pengedaran 20,000 telefon pintar bagi program Tuisyen Cikgu Saarani sudah dimulakan selepas mendapat maklumat pelajar yang layak daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Ini adalah untuk membantu pelajar menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan memastikan pelajar mendapat pendidikan yang sepatutnya dalam norma baharu.

Sumber : Korporat, SUK Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.