Kerajaan Negeri Perak Sedia Studio PdPR Mudahkan Warga Pendidik.
YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan cek kepada Pengarah JPN.
IPOH, 28 Julai 2021- Kerajaan Negeri Perak telah menyalurkan sebanyak RM125,000 kepada Jabatan Pendidikan Perak (JPN) bagi tujuan penyediaan studio Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di semua Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negeri.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, ia merupakan kesinambungan kepada program Tuisyen Cikgu Saarani yang telah diperkenalkan pada Februari lalu.
“Inisiatif ini bertujuan bagi membantu warga pendidik untuk menyediakan kelengkapan bagi PdPR yang kini telah menjadi norma baharu disebabkan wabak pandemik COVID-19.
“Selain daripada itu, studio tersebut juga boleh dimanfaatkan bagi sesi taklimat sukan atas talian (E-Sukan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) secara atas talian di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud dan YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Encik Khairul Shahril bin Mohamed.
Tambah YAB Dato’ Saarani bin Mohamad lagi, kerajaan negeri turut menyalurkan sebanyak RM15,000 bagi melaksanakan Majlis Sukan Sekolah Perak eChallenge 2021.
“eChallenge di bawah Majlis Sukan Sekolah- Sekolah Perak itu akan melibatkan sebanyak 24 jenis permainan sukan atas talian,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri telah melancarkan Program Tuisyen Cikgu Saarani pada 3 Februari lalu dengan tujuan membantu pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama di negeri Perak.
Turut mendapat manfaat secara langsung daripada program tersebut ialah lebih 200,000 pelajar peperiksaan utama termasuk pelajar tingkatan satu, empat dan murid tahun satu.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.