700 Nelayan Terima Kotak Bantuan Makanan.
YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan kotak bantuan makanan kepada wakil nelayan darat.
LENGGONG, 31 Julai 2021 : Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Perikanan Negeri Perak akan menyalurkan kotak bantuan makanan kepada 700 nelayan darat di semua daerah negeri ini.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, kerajaan negeri sedang dalam usaha meringankan beban golongan itu yang terkesan susulan pandemik COVID-19.
“Para penerima merupakan golongan nelayan darat yang tersenarai sebagai penerima bantuan elaun sara hidup serta bergantung sepenuhnya kepada tangkapan harian untuk menyara keluarga masing-masing.
“Sasaran bantuan ini juga kepada keluarga nelayan darat yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan aktiviti mereka mencari rezeki dengan menangkap ikan di sungai dan tasik selain tidak dapat menjalankan kerja sampingan seperti kerja-kerja kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Penyerahan Kotak Bantuan Makanan Nelayan Darat Negeri Perak 2021 kepada wakil nelayan darat di Pusat Pekasam Negara, Lenggong, di sini.
Ujar YAB Dato’ Saarani bin Mohamad lagi, kotak bantuan makanan ini akan diedarkan sepenuhnya kepada nelayan darat oleh pihak yang berkenaan.
“Jabatan Perikanan Perak dengan bantuan sokongan daripada pejabat-pejabat daerah dan pemimpin komuniti setempat akan mengedarkan kotak bantuan makanan kepada penerima-penerima yang layak.
“Kita akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak sama ada jabatan kerajaan dan swasta serta para NGO untuk sama-sama membantu meringankan beban golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19, ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM70 juta untuk pelbagai inisiatif dan bantuan sejak Februari hingga Julai tahun ini.
Ia terbahagi kepada dua perbelanjaan iaitu dalam bentuk inisiatif dan bantuan seperti kotak bantuan makanan untuk kawasan PKPD di samping untuk barisan hadapan bernilai RM46.1 juta dan Pakej Ransangan Ekonomi berjumlah RM21.9 juta.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.