Skip to main content

Belia Sambut Baik  Pendaftaran Sukarelawan MyVAC.

YB Menteri Belia dan Sukan ketika menyampaikan penghargaan kepada sukarelawan MYVAC di PPV Stadium Indera Mulia.

IPOH, 12 September 2021 - Pendaftaran untuk menjadi sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) adalah amat memberangsangkan meski pun tugas ini dikategorikan sebagai berisiko.

YB Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Faizal bin Dato' Azumu telah mengumumkan perkara itu semasa mengadakan Sesi Perjumpaan Bersama Sukarelawan MyVAC dan petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia pada hari ini.

“Sehingga 2 September 2021, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara telah menugaskan seramai 8,187 orang sukarelawan bukan kesihatan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) yang melibatkan 417 buah PPV di seluruh negara.

“Angka ini sentiasa bertambah dari semasa ke semasa selari dengan pembukaan Pusat-Pusat Pemberian Vaksin baharu yang sememangnya memerlukan khidmat sukarelawan bukan kesihatan, MyVAC sebagai salah satu anggota sokongan dalam membantu negara mencapai imuniti kelompok.

“Di negeri Perak, saya dimaklumkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah menugaskan seramai 979 orang sukarelawan di 25 buah Pusat Pemberian Vaksin seluruh negeri. PPV Stadium Indera Mulia mempunyai jumlah petugas sukarelawan MyVAC paling ramai di negeri Perak iaitu seramai 45 orang sehari dengan purata sebanyak 3,000 dos sehari,” jelas beliau.

Menurut beliau, kementerian juga telah memperkenalkan MyVAC @ Sportsindustry bagi membantu para pekerja industri yang terjejas akibat pandemik ini. 1,000 slot MyVAC dikhususkan kepada para pekerja penggiat industri sukan yang berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (CIMS) dengan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi pelaksanaan inisiatif ini.

Pada sesi lawatan tersebut, beliau turut berkesempatan untuk menyampaikan Kit Sanitasi kepada Ketua PPV Stadium Indera Mulia dan wakil-wakil petugas barisan hadapan.

Hadir sama, YBhg. Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Dato’ Dr. Hajah Wasitah Mohd Yusof; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Encik Khairul Shahril Bin Mohamed; Ybrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Puan Nor Sham binti Rahman serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Mohd Soufi Mohd Ibrahim.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.