DYMM Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1443H/2021M.

DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak
IPOH, 18 Oktober 2021- DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini.
Keberangkatan baginda diiringi DYTM Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Encik Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan.
Ia kemudiannya diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh bekas juara Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Tuan Haji Radzi Kamarul Hailan dan Selawat Nabi beramai-ramai.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Tuan Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan; YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Dato’ Mohd Yusop bin Husin; YDH Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Mior Faridalatrash Wahid serta Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pada majlis itu, DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menyampaikan Anugerah Pengamal Media kepada Encik Abd Razak Mohd Ali; Anugerah Pendakwah kepada Encik Muhammad Misyaqirin Thien Abdullah dan Anugerah Keluarga Mithali kepada Datuk Abdul Rasid Nopiah
Penerima Anugerah Pengamal Media Dan Pendakwah menerima wang tunai RM3,000, plak dan sijil manakala penerima Anugerah Keluarga Mithali menerima RM5,000, plak dan sijil.
DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat pulang sejurus selesai menunaikan Solat Isyak berjemaah, kira-kira jam 8.30 malam.
Sumber : Korporat, SUK Perak.