Skip to main content

Perak Lancar Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 (Penggantian).

YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan ketika melakukan gimik perasmian.

TAPAH, 28 Oktober 2021 - Kerajaan Negeri Perak fokus dalam menjadikan “Perak Negeri Berpendapatan Berkualiti 2040” dengan melancarkan Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 (Penggantian).

YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Binti Dato’Mohammed Radzi berkata, Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 adalah draf yang menggantikan Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2020 yang tamat tempoh perancangannya pada tahun 2020.

“Melalui kajian yang dijalankan, cadangan pembangunan bagi Daerah Batang Padang sehingga tahun 2035 adalah berteraskan kepada prinsip pembangunan mampan, berdaya huni, berkualiti dan pembangunan masyarakat yang inklusif. 

“Kita mahu memastikan satu cadangan pembangunan yang menyeluruh disediakan dan dibentangkan kepada pihak-pihak yang berkepentingan termasuk badan-badan bukan kerajaan bagi memastikan fokus pembangunan bagi Daerah Batang Padang dibangunkan sebagai Bandar Pendidikan,” katanya.

Beliau yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Program Publisiti Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 (Penggantian) di Dewan Merdeka, di sini.

Hadir sama, YBrs. Pengarah PLANMalaysia Perak, Puan Hajah Asni binti Mustafa; YBrs. Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah, Tuan Haji Muhamad Sahlan bin Husnin dan YBrs. Pegawai Daerah Batang Padang, Tuan Shahrul Affendi Bin Baharudin

Ujar YB Dato’ Nolee Ashilin lagi, dengan rangsangan pembangunan semasa bagi perindustrian utama di Kossan Glove City, Tapah telah memberi impak kepada pembangunan kawasan Tapah dengan pewujudan peluang-peluang pekerjaan, peningkatan kepada keperluan perumahan dan perniagaan serta aktiviti perkhidmatan di kawasan ini.

“Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 telah meletakkan Bandar Tapah sebagai pusat separa wilayah negeri dan merupakan Bandar Pendidikan serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan. Bagi Daerah Batang Padang, fokus untuk meningkatkan ekonomi penduduk setempat kepada aktiviti yang menjana pendapatan perlu diberi perhatian khusus.

“Oleh itu, hala tuju Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 adalah memberi tumpuan sebagai Daerah Lestari, Berdaya Maju dan Berdaya Huni. Selain itu, dalam usaha untuk mencapai misi ini, prinsip pelaksanaan pembangunan akan ditumpukan kepada aktiviti pelancongan, pendidikan dan industri sumber jaya,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, dengan komitmen yang jitu dan kerjasama yang erat di kalangan jabatan/agensi termasuk pemimpin masyarakat yang turut bersama-sama menggembleng idea dan pandangan, sebanyak lima Draf Rancangan Pemajuan akan dipublisitikan kepada orang awam yang dimulai dengan Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035; Draf Rancangan Tempatan Daerah Hilir Perak 2035; Draf Rancangan Tempatan Daerah Kuala Kangsar 2035; Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Ipoh 2035; dan Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Warisan Taiping.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.