Skip to main content

Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat Sempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Keberangkatan DYTM Raja Muda Perak dan DYAM Raja DiHilir Perak  ke majlis tersebut.

KUALA KANGSAR, 5 November 2021 : Kira-kira 200 jemaah menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, di sini, sempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-65.

DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah berkenan hadir ke majlis yang bermula jam 12.20 tengah hari itu.

Majlis berlangsung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 dengan setiap jemaah dikehendaki mematuhi penjarakan fizikal, termasuk membawa sejadah sendiri selain memakai pelitup muka, merekodkan kehadiran serta pemeriksaan suhu badan.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Dato’ Mohd Yusop Husin Barisan.

Timbalan Mufti Negeri Perak, YBhg. Dato’ Zamri Hashim mengetuai Majlis Bacaan Surah Yasin dan doa Selamat yang disusuli bacaan khutbah yang bertajuk ‘Raja Pemerintah; Payung Kedaulatan Negara’ serta solat Jumaat dipimpin Imam Utama Masjid Ubudiah, Ustaz Badrul Husaini Baharuddin.

Dalam khutbah Jumaat, Ustaz Badrul Husaini berkata, rakyat Perak amat beruntung dianugerahkan seorang Sultan yang berjiwa ilmuan selain menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sifat insani, peka kepada rintihan rakyat dan berusaha memastikan keadilan berlandaskan hukum.

Dalam perkembangan sama, Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat itu turut berlangsung serentak di masjid-masjid seluruh negeri Perak yang diketuai oleh Orang Besar Jajahan serta pegawai daerah masing-masing.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.