Skip to main content

Pusat Arena Sukan Aulong Jadi Kebanggaan Warga Aulong.

YAB Menteri Besar Perak serta tetamu yang hadir melakukan gimik perasmian dengan melontar bola tampar di arena sukan tersebut.

IPOH, 23 Januari 2022 - Kerajaan Negeri Perak giat menyediakan pusat kemudahan sukan untuk melahirkan belia yang aktif bersukan dan beriadah.

YAB Menteri Besar Perak berkata, beliau ingin rakyat belia di negeri ini memanfaatkan kemudahan bersukan yang telah disediakan. Malah, pemain hebat dan wakil negara juga lahir daripada kawasan-kawasan kampung kecil. Justeru itu, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan sukan yang lebih baik untuk negara.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Arena Sukan Aulong yang berhampiran dengan Pasar Awam Aulong, Taiping, hari ini.

YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Encik Nga Kor Ming berkata, transformasi arena sukan ini dapat dilaksanakan hasil kerjasama dengan kerajaan negeri demi kesejahteraan penduduk di kawasan ini.

“Pada hari ini, YAB Menteri Besar Perak turut merasmikan taman rekreasi awam dan medan letak kenderaan utama bagi Pasar Awam Aulong. Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri.

“Pada tahun 2004, pusat ini telah dibina tetapi kemudiannya, ia bertukar menjadi usang, semak-samun serta pernah disalah guna oleh penagih-penagih dadah.

“Kini, menjadi tanggungjawab kami, Pusat Khidmat Aulong dan Ahli Parlimen Taiping untuk menyelia dan menjaga kawasan ini bagi kegunaan jangka masa panjang serta kebanggaan bagi warga Aulong,” jelas beliau.

YAB Menteri Besar Perak turut berkesempatan menanam Pokok Bucida semasa merasmikan taman rekreasi awam berkenaan.

Hadir sama, YB Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dato’ Mohammad Zahir Bin Dato’ Abdul Khalid; YBrs. Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Encik Mohamed Akmal bin Dahalan dan YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Encik Loh Sze Yee.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.