Perak Tangani Masalah Kemiskinan Haid Melalui Pendidikan, Prasarana Dan Bantuan Bekalan
Kotak bantuan PROKiS mengandungi tuala wanita pakai buang, tuala wanita guna semula,risalah pendidikan haid,tuala kecil dan pembersih kewanitaan.
IPOH, 26 Februari 2022 – Kerajaan Negeri Perak melancarkan Program Kit Asas Sanitasi (PROKiS) bagi mengatasi masalah kemiskinan haid di negeri ini.
YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Negeri, Dato’ Dr. Wan Norashikin binti Wan Noordin berkata, program ini sedang berlangsung di 12 daerah di seluruh negeri yang akan memberi manfaat kepada sekitar 2,000 penerima.
“Antara punca kepada masalah ini adalah mereka kekurangan atau ketiadaan kemudahan sanitasi bagi menguruskan haid, kekurangan prasarana seperti akses kepada air yang bersih dan mencukupi, kekurangan pendidikan pengurusan haid dan kekurangan privasi dalam menguruskan haid.
“Kemiskinan haid ini turut menjadi punca pelajar ponteng sekolah terutama di kawasan luar bandar.
“Maka, kerajaan negeri akan menempatkan mesin layan diri alat sanitasi tuala wanita di tempat yang strategik dan terbuka. Ia secara tidak langsung dapat membantu golongan wanita dalam keadaan kecemasan.
“Kita juga akan memberi pendedahan pendidikan kepada para pelajar tentang cara-cara pengurusan diri apabila didatangi haid dan penyakit yang akan berlaku jika perkara ini tidak dititik beratkan,” katanya selepas melancarkan Program PROKiS Negeri Perak Tahun 2022 di Dewan Greentown, hari ini.
Turut berlangsung pemberian PROKiS kepada 200 orang remaja perempuan dan wanita di 3 lokaliti Program Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Bandaraya Ipoh iaitu Rumah Pangsa Jalan Hospital, Pangsapuri Seri Kepayang dan Rumah Pangsa Pasir Putih.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak, Puan Nor Tipah binti Majin; Pengarah Pejabat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perak, Puan Nurfarhana Lee Binti Mohd Zulkiflee Lee; Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Perak, Puan Kavaramma Subramaniyam serta Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW), Puan Srihartini binti Mohamed Shamsudin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.