Skip to main content

Program Seronok Ke Sekolah Bantu Keluarga Kurang Berkemampuan.

YAB Menteri Besar Perak bergambar bersama para penerima bantuan Program Seronok ke Sekolah Tahun 2022.

IPOH, 3 Mac 2022- Kerajaan Negeri Perak telah memperuntukkan sebanyak RM465,000 untuk Program Seronok ke Sekolah 2022 bagi membantu keluarga pelajar sekolah rendah dan menengah yang kurang berkemampuan menyediakan keperluan persekolahan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, tahun ini merupakan penganjuran kali kedua program tersebut.

“Kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan ini kerana program ini benar-benar berkesan bagi membantu golongan yang memerlukan bagi menyediakan kelengkapan persekolahan.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengenal pasti penerima yang layak bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Seronok ke Sekolah Tahun 2022 Negeri Perak serta Majlis Perasmian Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) di Bandar Meru Raya, di sini.

Hadir sama, YABhg. Isteri kepada YAB Menteri Besar,  Datin Seri Aezer Zubir; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin serta YBhg. Pengerusi Puspanita Negeri Perak, Datin Che Fauziah Ahmad.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, program itu telah dilaksanakan di seluruh negeri Perak bermula 19 Februari 2022 dan dijangka selesai sebelum sesi persekolahan bermula iaitu pada 20 Mac 2022.

“Bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada 3,100 orang di mana ia terbahagi kepada dua kategori iaitu pelajar lelaki dan perempuan.

“Bagi pelajar lelaki, mereka akan menerima sehelai baju kemeja, seluar, kasut, stokin dan bag galas, manakala bagi pelajar perempuan, mereka akan menerima kelengkapan persekolahan yang terdiri daripada sehelai baju, tudung (muslim), kasut, stokin dan juga bag galas,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak atau dikenali sebagai Wanita Perak adalah sebuah institusi khusus bagi menangani isu berkaitan pembangunan wanita, kebajikan masyarakat dan kesejahteraan sosial secara keseluruhan di negeri Perak.

Oleh yang demikian, orang awam atau NGO yang memerlukan nasihat, maklumat dan penerangan mengenai pembangunan wanita boleh menghubungi Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak atau hadir sendiri ke pejabatnya yang beralamat di No 5, Jalan Meru Bestari A14, Medan Meru Bestari, 30020 Ipoh mulai Mac ini.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.