DYMM Sultan Perak Berkenan Sampaikan RM9.2 Juta Bantuan Hari Raya.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menyampaikan bantuan hari raya kepada wakil penghulu daerah Perak Tengah.
IPOH, 18 April 2022 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan 2022 di Masjid Sultan Azlan Shah di sini, malam tadi.
Turut berangkat DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan; YABhg. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini; YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato’ Haji Mohd Yusop Husin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Majlis dimulakan dengan tazkirah, bacaan ayat suci al-Quran, tahlil dan doa selamat, diikuti bacaan doa berbuka puasa yang dihadiri lebih 300 jemaah sebelum seterusnya menunaikan solat Maghrib berjemaah.
Sebaik tiba, baginda berkenan menyempurnakan penyerahan bantuan hari raya daripada dana zakat MAIPk sebanyak RM8,335,500 kepada 33,342 orang asnaf fakir dan miskin seluruh negeri Perak. Bantuan disampaikan melalui Penghulu-Penghulu Mukim Daerah iaitu sebanyak 12 daerah.
Bantuan hari raya turut diberikan kepada 3,412 orang asnaf mualaf berjumlah sebanyak RM853,000.
Baginda turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan anggota MAIPk yang baharu kepada YDH. Toh Maharaja Indera, Tuan Khairil Anuar Arshad dan Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein.
Baginda kemudiannya menunaikan solat Isya berjemaah dan solat sunat Tarawih sebelum berangkat pulang.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.