Skip to main content

Kerajaan Negeri Agih 13,000 Kotak Juadah Raya Hargai Petugas Sempena Aidilfitri.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan kotak juadah raya kepada setiap wakil badan beruniform

IPOH, 20 April 2022 – Kerajaan negeri meneruskan tradisi pengagihan sumbangan juadah raya berjumlah 13,000 kotak juadah raya kepada 18 pasukan keselamatan dan beruniform sempena kedatangan Syawal tahun ini.

Majis penyerahan yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan ini disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.

Beliau dalam ucapannya menghargai jasa dan pengorbanan seluruh anggota barisan hadapan yang telah berjuang tidak kira masa termasuklah ketika negara berhadapan dengan ancaman COVID-19.

“Sumbangan ini adalah supaya anggota yang bertugas pada Hari Raya tidaklah berasa terlalu sedih. Mereka juga dapat merasai kuih raya, ketupat dan rendang sama seperti orang lain ketika beraya,” jelasnya.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan; Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan YDH Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Mior Faridalatrash Wahid.

Pengagihan kotak juadah raya ini membabitkan pasukan badan beruniform antaranya Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia, Pusat Koreksional Kamunting, Penjara Tapah, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, 69 Komando Pasukan Gerakan Khas, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin, Pejabat pengarah Penjara Perak (PAROL), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan PULAPEN.

Terdahulu, kerja pembungkusan telah disempurnakan oleh YBhg. Datin Seri Aezer Zubin, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak yang dibantu oleh 304 orang petugas yang terdiri daripada kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, BAIDURI, PUSPANITA, BAKAT (Laut), BAKAT (Darat), BAKAT (Udara), PERKEP Kontinjen IPK Perak, PERKEP Briged Utara Perak, Persatuan Wanita Prihatin, PERISMA, Pasukan 2 Briged dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Barangan yang dibekalkan di dalam kotak juadah raya adalah rendang tok, serunding, kuah kacang, ketupat nasi dan kopi.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.