DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2022

DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menyampaikan sumbangan duit raya.
IPOH, 3 Mei 2022- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2022 di Stadium Indera Mulia, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Shah.
Majlis yang bermula pada jam 3.00 petang itu telah dibanjiri dengan kehadiran orang ramai yang datang bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Kehadiran pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan usia pada majlis tersebut telah meningkatkan keharmonian serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pemimpin dengan rakyat.
Secara keseluruhannya, majlis tersebut telah berlangsung dengan meriah dan diserikan lagi dengan pelbagai juadah raya serta persembahan dari Kumpulan Selendang Perak.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak.
Dalam majlis itu juga, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim.