Perak Tubuh Skuad Up2Date Bagi Percepat Data eKasih Kepada Hanya Lima Hari.

YAB Menteri Besar Perak ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
IPOH, 9 Mei 2022 – Kerajaan Negeri melalui Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Perak menubuhkan Skuad Up2Date untuk memastikan kecekapan pengemaskinian maklumat peserta data eKasih dengan memendekkan tempoh bancian semula daripada dua tahun kepada lima hari bekerja sahaja.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, Skuad Up2Date ini berperanan untuk memastikan data serta maklumat peserta eKasih sentiasa dikemas kini sekali gus memudahkan kerajaan serta para pemegang taruh membuat perancangan serta dasar berkaitan kesejahteraan rakyat dengan lebih tepat.
Beliau mengulas lanjut, bermula pada 16 Mei 2022, pelekat kod QR akan dibekalkan kepada semua responden yang dilawati semasa proses pemutihan dan verifikasi eKasih secara berperingkat dan mereka hanya perlu membuat imbasan dan mengemas kini maklumat melalui borang Google yang disediakan.
“Skuad Up2Date kemudiannya akan turun ke lapangan bagi mengesahkan maklumat yang dikemukakan dan seterusnya maklumat yang diperolehi akan dikemas kini di dalam sistem eKasih,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Beliau berkata lagi, PPN Perak dengan kerjasama pentadbiran penghulu mukim turut memperkenalkan permohonan pendaftaran baru eKasih melalui sistem ePenghulu bermula pada April yang lepas dan ia juga dibangunkan oleh kerajaan negeri.
Dalam perkembangan lain, turut berlangsung penyampaian sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM23,100 kepada Badan Kebajikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi tujuan pembelian peralatan khas kerusi roda dan tongkat putih (walking stick) untuk digunakan oleh 21 orang murid Orang Kurang Upaya (OKU) miskin dan miskin tegar eKasih.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan; Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan YBhg. Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Haji Ruji Ubi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.