Skip to main content

Kerajaan Negeri Naik Taraf Kawasan Segitiga Pelancongan Ipoh Bagi Menarik Pelancong.

YAB Menteri Besar Perak dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sempat berkunjung ke booth pameran di Padang Ipoh.

IPOH, 14 Mei 2022 – Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melancarkan Projek Ipoh Heritage Tourism (IHT) yang bernilai RM11 juta di Padang Ipoh, malam ini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, banyak perancangan telah dibuat untuk mempergiatkan promosi pelancongan domestik serta persediaan Tahun Melawat Perak 2025 dengan mewujudkan pakej-pakej baharu secara langsung atau kerjasama dengan pihak swasta.

“Dalam konteks itu, pihak MBI sedang menaik taraf kawasan Segitiga Pelancongan Ipoh dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan tempatan bagi menarik pelancong tempatan mahu pun antarabangsa.

“Kawasan terlibat adalah sekitar Gunung Lang, Taman D.R Seenivasagam dan Ipoh Padang termasuk pekan Ipoh Lama hingga ke Masjid Paloh dan Kampung Kuchai bagi mewujudkan tarikan pelancongan di pusat bandar raya,” jelasnya semasa menyempurnakan majlis perasmian itu.

Menurutnya lagi, di Ipoh Padang ini, sebanyak 10 tema video akan disusun untuk tayangan selamat tiga hari bermula pada hari pembukaan.

“Projek IHT telah bermula pada 2 September 2020, pembangunan Ipoh Padang melibatkan pemasangan infrastuktur pertunjukan cahaya dan bunyi yang memaparkan sejarah dan budaya negeri Perak, destinasi-destinasi pelancongan serta memoir kartunis tersohor Perak, iaitu YBhg. Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat telah pun siap sepenuhnya. Keseluruhan Projek IHT akan siap pada suku pertama 2024.

“Tema berkonsepkan Pemetaan Cahaya ini memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan bangunan fasad.

“Bangunan fasad tersebut dibina lengkap dengan kemudahan pengunjung seperti tandas, bilik mandi dan bilik persalinan,” ujarnya kepada pemberita ketika sidang media.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud dan YBrs. Ketua Eksekutif NCIA, Encik Mohamad Haris Kader Sultan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.