Skip to main content

DYMM Tuanku Zara Salim Berkenan Melancarkan Nombor Pendaftaran Kenderaan UPSI

DYMM Raja Permaisuri Perak turut berkenan melafazkan pelancaran Sambutan 25 Tahun UPSI dan Pelancaran Nombor Pendaftaran Kenderaan UPSI.

TANJUNG MALIM, 24 Mei 2022- DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Aidilfitri dan Sambutan 25 Tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, pagi ini.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan melafazkan pelancaran Sambutan 25 Tahun UPSI dan Pelancaran Nombor Pendaftaran Kenderaan UPSI iaitu 'UG' yang bermaksud 'Universiti Guru' untuk mengimbau kenangan terutama kepada Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (SITC, MPSI, IPSI, UPSI).

Turut mengiringi baginda adalah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan isterinya, YBhg. Datin Seri Aezer Zubin; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Rasiah Mohd Noor, isteri kepada YBhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja; YBhg. Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Dato’ Alimuddin Mohd Dom dan isterinya, YBhg. Puan Sri Datin Hajah Mazlilah Ahmad Mansur; YBhg. Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff dan isterinya, YBhg. Datin Pazilah Yahaya serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

YAB Menteri Besar Perak dalam ucapannya berkata beliau sebagai Menteri Besar mahu melihat hubungan dengan UPSI sentiasa diperkukuh melalui jalinan kerjasama dalam memartabatkan lagi bidang pendidikan.

“Saya amat yakin dengan kepakaran yang dimiliki oleh pakar-pakar dari UPSI. UPSI membangunkan modul 3M (Membaca, Menulis, Mengira) dan berganding bahu bersama Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) melaksanakan Empower NCER Akademik Perak yang memajukan pendidikan anak-anak Perak termasuk kalangan anak-anak orang Asli. Tahniah dan terima kasih diucapkan.

“Saya juga yakin, graduan UPSI akan terus diperlukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk berkhidmat di seluruh negara dalam pelbagai bidang pembelajaran.

Sumbangan UPSI membantu negara memperkasakan pendidikan negara termasuk Perak, akan terus terpahat utuh dalam lipatan sejarah,” jelasnya lagi.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.