Amalkan Budaya Integriti Yang Tinggi Untuk Tangani Rasuah Khusus Dalam Pengurusan Kewangan
YB Dato' Zulazlan Abu Hassan menyeru penjawat awam serta kakitangan agensi untuk sentiasa peka dalam mengamalkan budaya integriti yang tinggi
IPOH, 2 Jun 2022- YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zulazlan Abu Hassan menyeru penjawat awam serta kakitangan agensi bagi Kerajaan Negeri Perak untuk sentiasa peka dalam mengamalkan budaya integriti yang tinggi untuk menangani rasuah khususnya dalam pengurusan kewangan.
Beliau berkata demikian semasa program ‘Executive Talk: Akauntabiliti dan Integriti dalam Pengurusan Kewangan Awam’ di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Tambahnya lagi, salah satu cara untuk menangani isu ini adalah setiap ketua jabatan perlu menyemak setiap kontrak yang ditandatangani dengan teliti supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan, ia tidak akan merugikan kerajaan untuk memperbetulkan kembali keadaan.
“Kesilapan sering berlaku apabila kontrak ditandatangani dalam keadaan yang tergesa-gesa dan terdesak tanpa sempat kita perhalusi terma dan syarat-syarat dalam perjanjian. Apabila berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan, ia semestinya akan memberi kerugian kepada kerajaan dari segi dana untuk membaiki kembali kesilapan tersebut.
“Perkara ini perlu diberi perhatian dan setiap kontrak itu perlu dirujuk semula dalam undang-undang terkini. Tidak memadai sekiranya undang-undang tersebut wujud tetapi tidak digunakan dan akhirnya berlakulah rasuah atau penyelewengan disebabkan kecuaian itu,” jelasnya semasa memberi ucapan alu-aluan di program itu.
Hadir sama, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Puan Aida Hazlyn Hassan; Timbalan Bendahari Negeri (Perkhidmatan dan Operasi Perakaunan), Nor Shuhaiza Mohd Redzuan dan Ketua Audit Dalam, Unit Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Tuan Haji Roslan serta ketua-ketua jabatan dan kakitangan agensi bagi Kerajaan Negeri Perak.
Turut berlangsung, sesi perkongsian ilmu oleh YBhg. Timbalan Pengarah Audit, Bahagian Susulan Audit, Jabatan Audit Negara, Dr. Sarimah Umor yang bertajuk ‘Pengenalan Kepada Paparan Susulan Audit (AG’s Dashboard) dan Isu-Isu Laporan Ketua Audit Negara’ kepada para tetamu yang hadir.
Seterusnya perkongsian ilmu oleh mantan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, YH. Dato’ Abdul Samat Kasah yang bertajuk ‘Integriti dan Akauntabiliti Dalam Perolehan’.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.