DYMM Paduka Seri Sultan Perak Titah Ayat 47-49 Surah Yusuf Perlu Dijadikan Rujukan.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan bahawa ayat 47-49 Surah Yusuf perlu dijadikan rujukan.
IPOH, 30 Julai 2022- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan bahawa ayat 47-49 Surah Yusuf perlu dijadikan rujukan oleh pelbagai pihak untuk menangani masalah keselamatan makanan.
“Seruan berjimat, seruan menyimpan dengan bijaksana, juga seruan mempersiapkan diri menghadapi malapetaka yang terkandung dalam Surah Yusuf memberikan pengajaran penting dan amat relevan dalam senario yang sedang melanda dunia ketika ini.
“Allah S.W.T telah mengurniakan ummah di negara ini dengan kekayaan sumber semula jadi, tanah yang luas lagi subur, iklim yang menggalakkan, dan hujan sepanjang tahun; faktor-faktor yang memiliki unsur-unsur kesempurnaan (tahsiniyat) untuk mempermudah ummah berusaha menghasilkan bahan makanan,” titah baginda.
Malah, baginda bertitah, perlu ada gerakan besar-besaran untuk memenuhi keperluan bekalan makanan.
“Jika tiada langkah serius dilaksanakan dengan segera, kita akan menghadapi suasana darurat makanan. Oleh itu perlu difahami falsafah yang tersirat di sebalik konsep jelapang padi dalam masyarakat Melayu.
“Usaha-usaha perlu dilakukan secara bersungguh dan berfokus untuk mengurangkan import. Langkah-langkah strategik perlu diperkenalkan untuk mewujudkan petani generasi baharu, meluaskan kawasan tanaman makanan, dan menggalakkan pengeluaran melalui kaedah moden walaupun di atas tanah bersaiz kecil,” titah baginda ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 H Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, pagi ini.
Turut berangkat ialah DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YABhg. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar Zaini; YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato’ Haji Mohd Yusop Husin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.