Skip to main content

Penjawat Awam Perlu Cabar Kreativiti Diri Untuk Menghasilkan Inovasi.

YB Dato’ Zainol Fadzi Paharuddin diiringi YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim menyampaikan wang tunai RM1,000 kepada pemenang Pertandingan Mencipta Hari Tema Inovasi Perkhidmatan Awam Tahun 2022.

IPOH, 17 Ogos 2022- Penjawat awam perlu mencabar diri dan menangkis segala kemustahilan dan menterjemahkannya kepada keberhasilan menerusi inovasi, kreativiti dan penggunaan teknologi untuk menjadikan proses kerja lebih efisien dan efektif.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Zainol Fadzi Paharuddin berkata demikian semasa mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad merasmikan Program Pembudayaan Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2022 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Program ini membawa tema “Semarak Inovasi, Menggarap Infiniti” yang merangkumi budaya dan sinergi dalam kalangan individu, keluarga dan masyarakat yang akan membawa negara ke arah kemajuan dan transformasi tanpa batas.

Menurut YAB Menteri Besar Perak, program tersebut menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila pelbagai seminar dan aktiviti perkongsian ilmu yang dijalankan telah menarik 650 orang peserta secara maya manakala pertandingan telah disertai oleh lebih 100 orang peserta.

“Kerajaan telah menyediakan beberapa platform pertandingan untuk mencungkil bakat inovasi dalam penjawat awam.

“Antara pertandingan tersebut adalah Pertandingan Tema Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Perak Tahun 2022, Pertandingan KIK Horizon Baharu Negeri Perak Tahun 2022 dan Pertandingan Anugerah Inovasi Negeri Perak Tahun 2022.

“Bagi Pertandingan Anugerah Inovasi Negeri Perak Tahun 2022, kategori anugerah utama yang ditunggu-tunggu untuk dimenangi adalah Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB) di mana pemenang boleh membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000.

“Bukan itu sahaja, istimewanya tahun ini, buat julung kalinya kita mempunyai Anugerah Inovasi Lestari Bumi Hijau,” jelasnya.

Tambahnya lagi, secara keseluruhan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM172,000 untuk 10 kategori dalam kesemua anugerah pertandingan ini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyuddin dan YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Mohd Akmal Kamarudin.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.