Skip to main content

Kerajaan Negeri Kenal Pasti 76 Lokasi Kerap Banjir Di Perak.

Sebanyak 10,000 ribu Ikan Baung dilepaskan ke Tasik Raban selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran Peringkat Negeri Perak.

LENGGONG, 26 September 2022- Kerajaan negeri di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak bersiap siaga untuk menghadapi banjir terutama di 76 lokasi yang kerap dilanda banjir di Perak.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata demikian selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran Peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban, pagi ini.

“Contoh daerah Hulu Perak ini, bila hujan lebat saja di Royal Belum, antara lokasi banjir adalah di Lenggong iaitu di Kampung Sumpitan, Kampung Kota Tampan Air dan di Gerak pula adalah Kampung Padang.

“Di kawasan-kawasan ini, kita telah meletakkan bot-bot penyelamat untuk menyelamatkan rakyat sebaik sahaja berlakunya banjir,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah di setiap 12 daerah negeri ini sedang mengambil tindakan berjaga-jaga antaranya kerja-kerja mengorek pulih sungai, mendalamkan sungai dan menyelenggara kolam takungan.

”Setakat ini, kerja-kerja penyelenggaraan kolam tadahan banjir telah dilaksanakan di 336 lokasi yang melibatkan keluasan 490 hektar,” katanya.

Malah, di bawah Projek Ramalan Amaran Banjir Negara, kerajaan negeri telah memasang sistem amaran siren di 33 lokasi serta akan tambah lagi 27 sistem amaran siren di sungai-sungai seluruh negeri yang dijangka siap pada tahun 2025.

“Sistem amaran banjir juga telah dipasang di dua buah lokasi di sekitar kawasan Sungai Lenggong bagi membantu untuk memberi amaran kepada penduduk kampung apabila paras air sungai mulai naik ke tahap yang bahaya.

“Siren-siren ini akan berbunyi sebanyak dua kali sebagai tanda amaran. Siren yang pertama berbunyi apabila aras air di peringkat berjaga-jaga dan siren kedua apabila aras air berada di peringkat bahaya,” ujarnya.

Untuk rekod, Perak mempunyai 55 buah stesen hujan telemetri, 27 stesen aras air telemetri serta 43 lokasi rumah pam banjir yang berada di bawah seliaan JPS bagi mengurangkan risiko banjir.

Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Haji Mohd Zolkafly Harun dan Timbalan Pengarah JPS negeri, Puan Ir Vasukey Palany Kumar.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.