DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Bubar DUN Perak.
YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad mengumumkan perkara tersebut ketika mengadakan satu sidang media di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Batang Padang.
TAPAH, 17 Oktober 2022- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata demikian ketika mengadakan satu sidang media di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Batang Padang, pagi ini.
“Sukacita saya memaklumkan kepada media pada hari ini bahawa saya telah menerima warkah pengisytiharan daripada DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah yang membawa maksud bahawa baginda telah memberi perkenan Dewan Negeri Perak ke-14 dibubarkan berkuat kuasa mulai hari Isnin, 17 Oktober 2022,” katanya.
Tambahnya lagi, kenyataan media hari ini merujuk kepada kenyataan media pada hari Rabu, 12 Oktober 2022 berkaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak ke-14.
“Di dalam kenyataan media tersebut, saya telah memaklumkan bahawa saya telah menyembah warkah permohonan pembubaran DUN ke-14 untuk pertimbangan DYMM Paduka Seri Sultan Perak selaras dengan Fasal (2), Perkara 36, XXXVI, Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan DYMM Paduka Seri Sultan telah bertitah bahawa sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri akan diumumkan selepas baginda berkenan membuat keputusan,” jelasnya.
Pembubaran DUN Perak dibuat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) selepas YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mendapat perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 yang lalu.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah, Tuan Haji Ahmad Roslan Mohamed Nazir dan Pegawai Daerah PDT Batang Padang, Encik Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.