YAB Perdana Menteri Umum Sumbangan Kepada Peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil Risda Dan Tok Batin.
Ketibaan YAB Perdana Menteri disambut meriah oleh orang ramai di majlis berkenaan.
TAPAH, 17 Oktober 2022- YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sumbangan Keuntungan Boleh Agih 2/2022 Projek Peserta-Peserta Felcra Berhad, Dividen Tanam Semula Komersial Risda 2022 dan pemberian one-off RM1,000 kepada Tok Batin dan Penghulu.
Beliau mengumumkan sumbangan tersebut ketika Majlis Ramah Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil Risda, Tok Batin dan Penghulu Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Arena Merdeka, pagi ini.
“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Felcra Berhad dalam melaksanakan pembangunan tanah terbiar apabila berjaya menaikkan nilai tanah luar bandar melebihi 204 ribu hektar yang memberikan manfaat kepada lebih 103,000 peserta di seluruh negara.
“Berikutan kejayaan projek peserta Felcra Berhad yang telah mencatatkan keuntungan, sukacita saya mengumumkan jumlah Keuntungan Boleh Agih Interim 2/200, berjumlah RM181.5 juta kepada seramai 74,949 peserta di seluruh negara,” jelasnya.
Tambahnya lagi, di bawah Rancangan Tanam Semula Komersial (TSK) yang diurus Risda melibatkan kawasan seluas 18,667.83 hektar dengan jumlah peserta seramai 13, 357 orang telah berjaya menikmati hasil dividen yang membanggakan.
“Berikutan itu, sejumlah RM73.2 juta dividen Risda TSK telah diagihkan kepada peserta pada purata RM5,480.38 sehektar seorang bagi tempoh yang berakhir sembilan bulan pertama tahun ini,” katanya.
Beliau turut mengumumkan pemberian one-off kepada Institut Penghulu Orang Asli sebagai tanda penghargaan kerajaan dalam menghargai sumbangan jasa dan tenaga Batin atau Penghulu dalam pembangunan dan adat warisan masyarakat Orang Asli.
“Kerajaan telah memperuntukan elaun berjumlah RM6.739 juta setahun yang melibatkan seramai 624 orang Tok Batin serta Penghulu di seluruh negara.
“Saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan pemberian one-off sebanyak RM1,000 kepada setiap Tok Batin dan Penghulu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM624,000,” ujarnya.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Dato’ Seri Mahdzir Khalid; YB Menteri Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan A/L Murugan yang juga merangkap Ahli Parlimen Tapah; YB Senator Dato' Dr. Mah Hang Soon dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.