Skip to main content

10 ADUN Perak Angkat Sumpah Exco

YAB Menteri Besar Perak menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Perak.

KUALA KANGSAR, 22 November 2022- Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Perak di hadapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Istana Iskandariah, di sini.

Berangkat sama pada istiadat berkenaan, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Mereka terdiri daripada tiga ADUN Barisan Nasional (BN) iaitu YB Dato' Mohd Zolkafly Harun (Lintang); YB Puan Salbiah Mohamed (Temengor) dan YB Encik Khairudin Abu Hanipah (Belanja).

Selebihnya adalah daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu YB  Dato' Seri Dr. Mohammad Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat); YB Encik A. Sivanesan (Sungkai) ; YB Encik Loh Sze Yee (Jalong); YB Encik Teh Kok Lim (Aulong); YB Puan Sandrea Ng Shy Ching (Teja); YB Encik Mohd Azlan Helmi Helmi (Tualang Sekah), dan YB Encik Woo Kah Leong (Pasir Bedamar).

Kesemua mereka kemudian menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Y.A Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Dato' Abdul Wahab Mohamed.

Hadir sama,YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YABhg Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr) Mohd Zahidi Haji Zainuddin (Bersara) dan Ahli Dewan Negara Negeri Perak, YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini.

Dalam perkembangan sama, semalam, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 selepas BN dan PH bersetuju menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.