Skip to main content

Dewan Negeri Perak Zahir Simpati, Takziah Kepada Mangsa Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali.

Dewan Negeri Perak bertafakur selama seminit bagi menghormati dan memperingati mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting Highlands-Batang Kali, Hulu Selangor

IPOH, 21 Disember 2022-  Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama, Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan pagi ini bertafakur selama seminit bagi menghormati dan memperingati mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting Highlands-Batang Kali, Hulu Selangor, Jumaat lalu.

YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid menzahirkan simpati dan takziah Dewan Negeri Perak kepada keluarga mangsa sebelum memohon semua Ahli Dewan Negeri bertafakur seketika manakala bagi Ahli Dewan Negeri yang beragama Islam membaca Al-Fatihah.

“Saya ingin menyatakan bagi pihak dewan, rasa simpati dan saya ingin menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

“Ia merupakan sebuah tragedi luar jangka yang turut dirasai di seluruh negara dan saya berharap agar keluarga-keluarga mangsa tabah dalam menghadapi dugaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum memulakan Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama, Dewan Negeri Ke-15, Perak Darul Ridzuan di Dewan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Ujar YB Dato’ Mohammad Zahir lagi, Dewan Negeri Perak turut menzahirkan rasa penghargaan kepada setiap anggota keselamatan yang bertungkus lumus bagi menjayakan misi menyelamat.

“Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada anggota keselamatan dan petugas yang terlibat dalam menjayakan misi mencari dan menyelamat mangsa,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, setakat ini, 25 mangsa disahkan meninggal dunia dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat dalam insiden tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Batang Kali itu.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.