Kerajaan Negeri Perak Menyampaikan Dana Pendidikan Dan Insentif Kecemerlangan Sukan Kepada Atlet Negeri Ini.

Muhammad Azeem Mohd Fahmi telah mengharumkan nama negara sebagai pelari ke-5 terpantas remaja dunia bawah 20 tahun.
IPOH, 30 Disember 2022- Kerajaan Negeri Perak menyampaikan dana pendidikan sebanyak RM600,000 kepada atlet Sukan Olahraga, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang telah mengharumkan nama negara sebagai pelari ke-5 terpantas remaja dunia bawah 20 tahun ketika menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia.
Penyampaian tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Bangunan Perak Darul Ridzuan ketika Majlis Penyampaian Dana Pendidikan Negeri Perak dan Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Sukan Kepada Pasukan Hoki Lelaki Negeri Perak.
Menurut YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, dana ini bertujuan untuk membantu membiayai perbelanjaan pengajian beliau di Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat selama minimum 3 tahun.
“Ini adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu beliau melanjutkan pelajaran ke universiti yang turut mempunyai kemudahan serta fasiliti bagi meningkatkan kecemerlangannya dalam bidang sukan.
“Kita berharap lebih ramai lagi atlet sepertinya dapat dilahirkan kerana beliau layak dinobatkan sebagai ikon anak muda disebabkan berjaya mengimbangi kejayaan dalam bersukan dan akademik dengan cemerlang,” jelasnya.
Muhammad Azeem akan berlepas pada 1 Januari 2023 pada jam 2.20 pagi bagi menyambung pelajaran dalam jurusan Exercise Physiology and Kinesiology dengan tempoh pengajian bermula 11 Januari 2023 hingga 31 Disember 2026.
Pada majlis yang sama, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad turut menyampaikan insentif kecemerlangan sukan sebanyak RM100,000 kepada Pasukan Hoki Lelaki Negeri Perak yang telah menjuarai Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak edisi ke-60 2022.
Tambahnya lagi, pencapaian ini adalah hasil prinsip kebersamaan semua pihak yang bertanggungjawab, khususnya para atlet dan jurulatih masing-masing.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha dan pengorbanan serta disiplin tinggi dalam mengharungi cabaran pahit dan manis. Kesungguhan ini perlu ada dalam setiap diri atlet,” ujarnya.
Turut hadir, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Encik Khairudin Abu Hanipah; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Haji Mazlan Mohamad dan Jurulatih pecut, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah.
Sumber : Korporat, SUK Perak.