Skip to main content

1,465 Unit Hartanah Kos Rendah Dan Sederhana Lahat Eco City Bantu Warga Kota Miliki Rumah Sendiri.

DYAM Raja Dihilir Perak berkenan bergambar bersama tetamu yang hadir.

LAHAT, 17 Januari 2023 - 1,465 unit hartanah kos rendah dan kos sederhana akan dibina di Lahat Eco-City bagi memberi manfaat kepada warga kota Ipoh dan golongan berpendapatan rendah.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan perumahan meliputi tanah seluas 82.53 ekar yang dimiliki oleh pihak pemaju Mysuccess Land Sdn Bhd itu bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

“Ia melibatkan sejumlah 392 unit rumah pangsa kos rendah, 404 unit rumah pangsa kos sederhana dan 669 unit rumah teres setingkat kos sederhana.

“Pada 5 September 2022, Mysuccess Land Sdn. Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi merealisasikan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana kepada anggota MBI berpangkat rendah, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Lahat Eco-City, di sini.

Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut, DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Puan Sandrea Ng Shy Ching; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Bin Baharin; Pegawai Eksekutif LPHP, Encik Mohamed Akmal Dahalan dan Pengarah Urusan Mysuccess Land Sdn Bhd, Encik Heong Seng Loon.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, kerajaan negeri sangat menghargai komitmen pihak pemaju yang menetapkan agenda “Satu Keluarga, Satu Rumah” dengan menyasarkan matlamat meningkatkan kadar pemilikan rumah kepada golongan susah tanpa mengabaikan tanggungjawab meningkatkan kualiti rumah yang dibina.

“Secara umumnya, usaha yang baik ini bukan sahaja membantu pemilikan rumah golongan berpendapatan rendah yang sering berdepan masalah pembiayaan perumahan, tetapi juga dapat meningkatkan momentum sektor hartanah di negeri Perak pada masa akan datang.

“Difahamkan, Perumahan Lahat Eco-City, Ipoh dibahagikan kepada dua fasa dengan fasa pertama melibatkan Rumah Teres Kos Sederhana yang dijangka siap pada suku keempat tahun 2024 manakala fasa kedua, Rumah Pangsa Kos Rendah pula dijadualkan siap pada suku keempat tahun 2026,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, pembangunan perumahan mampu milik yang terletak di Bandar Lahat, Ipoh itu selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menggariskan enam agenda yang mencerminkan aspirasi rakyat dari segi kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan dengan misi ‘memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik’.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.