Kerajaan Negeri Prihatin Terhadap Kebajikan Pendidikan Anak-Anak Yatim Ekoran Covid-19.
Para tetamu bergambar bersama.
IPOH, 18 Januari 2023- Kerajaan Negeri Perak menyampaikan sumbangan kepada 120 orang pelajar untuk membela dan menjaga kebajikan anak-anak yatim, yatim piatu yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid-19.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad ketika Majlis Pelancaran Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, petang ini.
“Dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta sejak tahun 2022, program ini menawarkan lima jenis bantuan yang merangkumi keperluan persekolahan, biasiswa, bantuan peranti, bantuan khas serta pembayaran dividen keuntungan FELCRA Berhad sekali gus meringankan beban yang ditanggung keluarga mereka.
“Bagi FELCRA Berhad, tahun 2022 sahaja, pihaknya telah menyumbang sebanyak RM252,000 dalam bentuk pembayaran dividen keuntungan kepada para penjaga.
“Bagi tahun 2023 pula, sebanyak RM432,000 akan diperuntukan oleh pihak FELCRA bagi program ini,” jelasnya.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Encik Khairudin Abu Hanipah; YBrs. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Tuan Haji Harith Fadzilah Haji Abdul Halim; YBrs. Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Encik Zulkafli Mohamed Mokhtar dan YBrs. Pengurus Besar FELCRA BERHAD Wilayah Perak, Encik Yusoff Razali.
Menurut YB Encik Khairudin Abu Hanipah, lima jenis bantuan tersebut adalah, yang pertama, bantuan keperluan persekolahan teduhan kasih sebanyak RM250 setahun bagi sekolah rendah dan RM500 bagi sekolah menengah.
Kedua adalah biasiswa teduhan kasih. Bantuan berbentuk bantuan sara diri bulanan disalurkan terus kepada penerima pada kadar RM100 sebulan bagi sekolah rendah, RM150 bagi sekolah menengah dan RM500 setiap semester bagi pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Seterusnya adalah bantuan peranti teduhan kasih di mana peranti elektronik disediakan kepada semua murid peringkat rendah dan menengah termasuk pelajar IPT.
Kemudiannya adalah bantuan khas teduhan kasih seperti bantuan kerusi roda, alat pendengaran, kaki palsu, cermin mata dan lain-lain peralatan sokongan bagi pelajar yang memerlukan.
Jenis bantuan terakhir adalah bantuan saham FELCRA teduhan kasih. Bantuan ini diberikan kepada setiap penjaga berkelayakan yang sah pada kadar RM300 sebulan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.