Skip to main content

Majlis Executive Talk Dan Perutusan Tahun Baharu 2023 YAB Menteri Besar Perak.

YAB Menteri Besar Perak bergambar bersama tetamu yang hadir.

IPOH, 26 Januari 2023 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menggariskan lima fokus utama sebagai agenda penting kerajaan negeri pada tahun 2023 sempena Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baharu 2023.

Kesemua lima fokus tersebut merupakan kunci kepada agenda penting yang akan dijayakan oleh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Lima fokus tersebut adalah seperti berikut:-

  1. 1. Meningkatkan Hasil & Daya Saing Ekonomi Negeri

YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad berharap agar sasaran Hasil dan Perbelanjaan telah ditingkatkan bagi memastikan Kerajaan Negeri terus meningkatkan fokus untuk kutipan hasil yang lebih baik supaya pelaksanaan pembangunan dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil dalam memastikan kutipan hasil yang konsisten dan tinggi adalah seperti berikut:

  • Melipatgandakan usaha mengutip tunggakan terutamanya tunggakan cukai tanah.
  • Menyemak semula semua perjanjian yang melibatkan kerajaan negeri terutama berkaitan dengan skop penjanaan hasil kepada Kerajaan Negeri.
  • Mengambil tindakan penambahbaikan ke atas semua teguran audit yang melibatkan skop penjanaan hasil kepada Kerajaan Negeri.
  • Mengemas kini enakmen, peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah yang melibatkan kadar-kadar caj yang telah lama diguna pakai.
  • Menyemak semula proses aliran kerja terutama yang melibatkan permohonan kelulusan permit/lesen bagi sesuatu bayaran yang dikenakan. Dalam erti kata lain mempercepatkan sesuatu proses permohonan.
  • Meluaskan penggunaan bayaran atas talian bagi memudahkan bayaran hasil kepada Kerajaan Negeri selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2030, MyDigital Malaysia.
  1. Memantapkan Sinergi Dalam Sistem Penyampaian

YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menggariskan 3 pendekatan yang boleh diterapkan oleh penjawat awam negeri Perak dalam memantapkan sinergi dalam sistem penyampaian:

  • Sense of crisis akan menuntut kita untuk selalu membuat antisipasi krisis berdasarkan data bagi membolehkan kita melakukan langkah mitigasi pada waktu-waktu yang genting.
  • Sense of empathy pula menyarankan kita untuk sentiasa memahami kehendak dan menyelami keperluan rakyat yang memerlukan.
  • Sense of urgency membolehkan kita sentiasa proaktif untuk memastikan apa jua isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan secara tangkas dan pantas. Ini memerlukan kreativiti serta inovasi dalam setiap gerak kerja dan tindakan kita.
  1. Mengupaya Sara Diri Dan Kapasiti Rakyat

Kerajaan Negeri telah menggariskan pelbagai program-program khusus bagi mengupayakan sara diri rakyat dalam mendepani situasi ekonomi yang tidak menentu. 

Selain bantuan sosial melalui jabatan dan agensi kebajikan, pelbagai program dan inisiatif disediakan kerajaan termasuk pemberian Kad Perak Sejahtera, Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak, pemberian kotak makanan serta skim-skim bantuan perumahan.

  1. Keterangkuman Inisiatif Digital Dan Teknologi

YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa aspek pendigitalan merupakan sumber ekonomi masa hadapan dan oleh itu kerajaan negeri akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital Negeri Perak bagi menentukan dasar dan inisiatif berkaitan ekonomi digital di peringkat negeri dan memantau penyelarasan inisiatif antara kerajaan pusat, agensi negeri dan agensi swasta.

Pada masa sama, penyediaan infrastruktur telekomunikasi menjadi agenda utama Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran pintar bagi memacu sektor pendidikan, perniagaan dan tadbir urus kerajaan. Kerajaan Persekutuan telah melancarkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menambah baik jaringan akses komunikasi dan jalur lebar bagi seluruh negeri Perak.

  1. Memulihara Kelestarian Alam Sekitar

YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menyifatkan bahawa agenda kelestarian alam sekitar perlu bersifat konsisten dan berkelanjutan. Sehubungan itu, langkah-langkah pemuliharaan alam sekitar yang sedang dilaksanakan akan terus diperkukuhkan. Antaranya:

  • Memperhebatkan inisiatif konservasi.
  • Menyebarluaskan inisiatif teknologi hijau.
  • Memantapkan inisiatif waste to energy (WTE).
  • Meningkatkan langkah penguatkuasaan berkaitan perlindungan alam sekitar.

Kelima-lima teras utama tersebut telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad dalam ucapannya pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2023 di Hotel Casuarina@Meru, di sini.

Hadir sama bagi memeriahkan majlis, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.