Skip to main content

Jualan Pasar Tani Mesra Sempena Hari Bertemu Pelanggan Mendapat Sambutan Yang Menggalakkan.

Rakyat Perak dilihat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan ayam dan telur yang dijual murah.

IPOH, 15 Februari 2023- Hari pertama jualan Pasar Tani Mesra sempena Hari Bertemu Pelanggan di pekarangan Stadium Indera Mulia mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Haji Mohd Zolkafly Harun berkata rakyat Perak dilihat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan ayam dan telur yang dijual murah di sini iaitu pada kadar RM6 seekor dan RM10 bagi sepapan telur gred A.

“Jualan ini disediakan bagi memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang berpatutan dan jika tiada halangan, kita akan berbincang untuk meneruskan program mini roadshow sekuriti makanan ini ke daerah-daerah lain, mungkin sebulan sekali,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian surat tawaran pinjaman usahawan padi dan penyerahan program penambahbaikan infrastruktur padi luar jelapang di Skim Kecil Senin, petang ini.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan RM2 juta bagi membantu 342 pesawah luar jelapang padi, menerusi dana bantuan infrastruktur dan pembangunan padi.

“Kebanyakan penerima merupakan pengusaha padi di daerah Perak Tengah dan Kuala Kangsar, dan mereka merupakan penyumbang utama kepada keberhasilan sekuriti makanan di negara ini,” katanya.

Bagi dana pinjaman, seramai sembilan pengusaha padi ditawarkan pinjaman berjumlah RM681,300 untuk pembelian dron, bateri pintar, mesin dan juga jentera.

Dana menaik taraf infrastruktur pula melibatkan 333 pesawah padi luar jelapang di daerah Perak Tengah dan Kuala Kangsar bagi kerja pembinaan parit lading, kerja-kerja perataan dan pengapuran dengan keluasan 846 hektar.

Hadir sama, YBrs. Pengarah Pertanian Negeri Perak, Puan Norsiyenti Othman dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Encik Mohd. Kahar Mukktaruddin.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.