Perak Komited Tanam 2.5 Juta Pokok Tahun Ini.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan.
IPOH, 27 Februari 2023- Kerajaan Negeri Perak komited dalam menyasarkan penanaman kira-kira 2.5 juta pokok pada tahun ini.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sebelum ini meletakkan sasaran untuk menanam sebanyak 10 juta pokok dalam masa 5 tahun atau dua juta pokok setahun di seluruh negeri.
“Pada tahun 2021, kita telah mencapai sasaran menanam 2.17 juta pokok dengan keluasan 5,568.01 hektar, manakala jumlah penanaman pada tahun lalu ialah 2.33 juta pokok dengan keluasan 6,152 hektar di seluruh negeri.
“Oleh itu, pada tahun ini saya berharap agar dapat kita dapat melepasi sasaran tersebut iaitu kira-kira 2.5 juta pokok,” katanya dalam satu sidang media di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, di sini.
Terdahulu, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad berkesempatan merasmikan Sistem Amaran Awal Kepala Air (EWS) Dan Kick-Off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Bagi Tahun 2023.
Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YBhg. Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Indera Mohd Ridza Awang; YBhg. Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Dato’ Mohamed Zin Yusop serta barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, sistem EWS telah dibangunkan dengan peruntukan RM800,000 dari Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
"Sistem tersebut bermatlamat untuk menjadikan taman eko rimba sebagai sebuah destinasi ekopelancongan yang selamat, selesa dan kondusif.
"Sistem ini telah siap dibina di dua taman eko rimba di Perak iaitu di Taman Eko Rimba Kledang Saiong serta Taman Eko Rimba Lata Iskandar dan secara tidak langsung ia mampu menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa ke kawasan tersebut," ujarnya.
Sumber : Korporat, SUK Perak.