Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Titah Institusi Istana Perlu Jadi Penimbang Tara, Tidak Memihak Parti Politik.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika menyampaikan titah

KUALA KANGSAR, 4 Mac 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar institusi istana perlu menghargai harapan tinggi rakyat yang memohon supaya ia berperanan sebagai penimbang tara secara adil, saksama, tidak memihak dan kekal mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian.

Baginda bertitah, keberkesanan sesebuah pemerintahan memerlukan tanggungjawab yang dilaksanakan secara bersama dalam semangat 'berat sama dipikul - gunung sama didaki, laut sama diselami dan peranan institusi istana sebagai payung penyatuan kepelbagaian perlu difahami dan dilaksanakan.

"Takhta (institusi istana) perlu bertenaga, memenuhi peranan sebagai payung penyatuan, memenuhi harapan rakyat, sebagai pemangkin, mengharmonikan hubungan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan baginda ke-66 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa serta DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negeri Perak.

Titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak lagi, takhta juga wajib memperlihatkan sebaik contoh dalam memenuhi amanah Allah, dan dalam memenuhi harapan rakyat, agar kemuliaan takhta tidak tercemar, dan kedaulatan Raja tidak dipersenda.

"Sembahkan nasihat yang benar secara ikhlas, jujur lagi bertanggungjawab kepada Raja Pemerintah. Raja Pemerintah jangan dikhayalkan dengan cerita-cerita penghibur telinga hingga Raja berada dalam alam tersendiri, jauh daripada realiti keadaan kesusahan hidup yang dialami rakyat.

"Raja pemerintah wajib memahami denyut jantung dan denyut nadi rakyat jelata, satu tanggungjawab yang berat dan ianya insya-Allah dapat diringankan dengan adanya semangat nasihat menasihati, bantu-membantu dan saling memelihara nama baik dan kemuliaan takhta," titah baginda lagi.

Terdahulu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama diketuai Mej Muhammad Fariq Zainul Abidin dan dipimpin Kol Abdul Rahim Hamzah terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro Taiping.

Kawalan Kehormatan Utama itu diiringi pancaragam daripada Brassband KD Pelanduk yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.