DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Berbuka Puasa, Rasmi Masjid Jamek Taman Yayasan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkesempatan beramah mesra bersama jemaah Masjid Jamek Taman Yayasan.
TAIPING, 4 April 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Jamek Taman Yayasan, di sini.
Ketibaan baginda pada jam 6.50 petang telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang- Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok kayu manis atau Cinnamomum Verum dan seterusnya membuka tirai plak sebagai simbolik perasmian masjid tersebut.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak seterusnya mencemar duli berbuka puasa bersama lebih 500 orang jemaah dan menunaikan solat Maghrib sebelum berkenan berangkat ke majlis santapan, diikuti dengan solat Isyak serta solat Terawih.
Baginda berangkat pulang kira-kira jam 10 malam selepas sesi bergambar bersama tetamu jemputan serta jawatankuasa masjid.
Dalam perkembangan sama, Masjid Jamek Taman Yayasan telah siap dibina pada 5 Julai 2013 dan mampu memuatkan kira-kira 600 jemaah dengan dilengkapi ruang solat utama, bilik imam, tempat wuduk wanita dan lelaki, kemudahan pengurusan jenazah dan pejabat pentadbiran.
Sumber : Korporat, SUK Perak.